Dari Abdullah bin 'Amr RodiyAllahu anh, Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sampaikanlah pesanku walaupun satu ayat..."

Friday, December 23, 2011

pencuri mengajar ayat kursi?


bismillahirrahmanirrahim~

Hadis sahih Bukhari, daripada Abu Hurairah r.a., katanya:

Rasulullah S.A.W menugaskan saya menjaga zakat Ramadhan (zakat fitrah). Kemudian datang seseorang lalu diambilnya segenggam makanan. Saya tangkap orang itu dan berkata kepadanya, "Nanti ku adukan engkau kepada Rasulullah S.A.W"

Katanya "Saya memerlukannya, kerana saya mempunyai keluarga dan keperluan yang amat sangat."

Kata Abu Hurairah: Kerana itu saya lepaskan saja dia. Esok pagi Nabi S.A.W bertanya, "Hai Abu Hurairah, apa yang dibuat engkau tawanan malam tadi? Jawabku, " Ya Rasulullah, katanya dia sangat memerlukan, dan dia mempunyai keluarga. Saya berasa kasihan dan saya lepaskan dia."

Nabi bersabda, "Sebenarnya dia berdusta kepadamu, dan dia akan datang lagi."

Saya pun yakin dia akan datang lagi, kerana kata-kata Rasulullah S.A.W itu, lalu saya intip dia. Memang benar, dia datang lagi, dan diambilnya segenggam makanan. Terus saya tangkap dia, sambil berkata "Nanti ku adukan engkau kepada Rasulullah S.A.W."

Katanya, "Lepaskan saya. Saya sangat memerlukan, dan saya punyai keluarga. Saya tak akan buat lagi."

Saya berasa kasihan, lalu saya lepaskan dia. Keesokan pagi, Rasulullah S.A.W. bertanya saya, "Hai Abu Hurairah, apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?" Saya jawab, " Ya Rasulullah, katanya dia sangat memerlukan, dan dia mempunyai keluarga. Saya berasa kasihan dan saya lepaskan dia."

Nabi bersabda,"Sebenarnya dia berdusta kepadamu, dan dia akan datang lagi."

Saya intip lagi dia untuk kali ketiga. Memang benar dia datang lagi dan diambilnya segenggam makanan. Lantas saya menangkap dia seraya berkata, "Aku akan adukan engkau pada Rasulullah S.A.W. Ini kai ketiga engkau kata tak akan datang lagi tetapi engkau datang juga."

Katanya, "Lepaskan saya, nanti saya akan ajarkan kamu kalimah-kalimah yang diberi manfaat oleh Allah, apabila kamu membaca kalimah itu." Kataku, "Apakah kalimah itu?"

Jawabnya," Apabila kamu hendak tidur, bacalah Ayat Kursi. Maka kamu akan sentiasa berada dalam peliharaan Allah, dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga ke pagi."


Setelah itu, saya pun lepaskan dia. Esok pagi Rasulullah S.A.W. bertanya saya, "Apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?" Jawabku, "Ya Rasulullah, dia mengajarkansaya beberapa kalimah yang katanya diberi manfaat oleh Allah apabila seseorang membacanya. Kerana itu dia saya lepaskan."

Nabi bertanya "Apakah kalimah itu?" Jawabku, "Dia mengatakan kepadaku, apabila kamu hendak tidur bacalah Ayat Kursi, kamu akan sentiasa berada dalam peliharaan Allah, dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga ke pagi."

Nabi S.A.W bersabda, "Sesungguhnya dia telah benar kepadamu, padahal dia sangat pendusta. Tahukah engkau dengan siapa engkau bercakap selama tiga malam itu wahai Abu Hurairah?" Jawabku, "Tidak."

Sabda baginda, "Itulah syaitan"

No comments:

Post a Comment