Dari Abdullah bin 'Amr RodiyAllahu anh, Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sampaikanlah pesanku walaupun satu ayat..."

Wednesday, November 16, 2011

kisah hari sabat.

bismillahirrahmanirrahim~

ni saya copy paste je dari inche gabbana
semoga bermanfaat bagi pembaca sekalian


*******************************************
Alkisah inilah cerita orang dahulu kala, hikayat namanya, di sebuah negeri di tepi laut yang indah-indah belaka. Tersebutlah orang, negeri itu diberi nama Eilah adalah juga. Namun tiada siapa yang dapat mengesahkan ceritera nama melainkan pendeta yang bijaksana lagi mulia.

Tersebutlah firman Allahu Ta'ala, yang melarang penduduk Eilah kesemuanya bekerja dan mencari rezeki adanya, pada hari Sabat adalah juga, melainkan beribadah sepenuh masa sehari purnama. Maka kesemua rakyat jelata taat dan patuh pada perintah Tuhan yang Esa kerana takut ditimpa seksa yang maha dahsyatnya.

Arakian setelah lama masa berlalu, ikan-ikan di lautan tiada timbullah jua, melainkan pada hari Sabat setiap masa. Rakyat Eilah bertapak-tapak ke rumah ibadah terlihatlah juga gerangan ikan-ikan yang gemuk dan sihat belaka, melompat-lompat kegirangan ria. Maka kempunanlah juga mereka, terleleh air liur membasahi muka, dek tidak merasa kelazatan ikan Eilah adanya.

Tersebutlah perkataan sekumpulan pemuda, yang tidak menahan melihat riang rianya ikan-ikan Eilah di perairan, lantas memikir rancangan terlalu amat licik perinya.

"Ya kita semua menanggung ini bersama, setiap pagi Sabtu sebelum rahib bangun ke kuil memuja, kita dahulu ke tepian pantai memasang jala. Terbit sang suria penyeri alam buana, kita pantas bersama mereka pergi memuja Tuhan yang Maha Pencinta. Maka sebelum sang suria melabuh punggungnya, kita ke pantai semula menarik jala, pasti labanya terlalu amat berharga! "

Begitulah peri jahatnya rancangan mereka, mahu persenda Tuhan yang Esa. Lupakah mereka Tuhan yang Esa itu Maha Mengetahui lagi Melihat segala dosa noda mereka?

Arakian rancangan mereka berjalan lancar, sebagai tanda Tuhan menguji iman di dada. Saban Sabtu mereka berbuat onar, tatkala penduduk Eilah taat menyembah dan memuja. Sayugia mereka mendapat laba yang besar, sehinggakan penduduk Eilah menjadi curiga semuanya. Masakan mereka menangkap ikan-ikan di lautan sementelah tiada lagi ikan melainkan pada hari Sabat juga?

Maka sekumpulan manusia yang takut seksaan Tuhan menimpa, menasihati pembuat dosa dan noda, seraya berkata:

"Bertaubatlah wahai manusia, sedangkan pintu taubat itu senantiasa terbuka. Bertaubatlah wahai manusia, sebelum ajal datang menyentap jiwa. Bertaubatlah manusia, sebelum kau terlambat sesal tidak berguna!"

Sedangkan nasihat mereka tidak diendah, hatta dicaci dan dimaki jua adanya.

"Wahai bodoh juga kamu semua, masakan kami melepaskan pekerjaan yang mendatangkan keuntungan berganda..?"

Alangkah masygulnya hati, berduka lara dihamun sedemikian rupa. Arakian terlalu bersungguh juga hemat mereka, berputus asa bukan pilihan, sehinggalah semuanya tunduk pada Tuhan yang Esa. Maka mereka terus melarang jua, adapun nasihat mereka tidak diendahkan sama.

Tatkala itu, muncul pula sekumpulan manusia, memarahi dan mencerca:

"Wahai manusia hamba Rabb yang Berkuasa! Masakan kamu semua bahalol semuanya, tidak menggunakan akal di kepala? Mengapa mahu berjerih-perih menasihati mereka, adapun neraka jualah tempat mereka semuanya? Mengapa perlu berlelah letih melarang mereka, adapun Tuhan pasti akan mengazab mereka jua adanya? Pedulikan mereka semuanya! Ayuh kita kembali taat padaNya, pemilik kerajaan langit dan bumi, neraka dan sorga!!

Arakian naik murkalah Tuhan langit dan bumi, kerana penduduk Eilah membiarkan maksiat berleluasa melainkan sedikit sahaja. Lantas diturunkannya azab dan seksa, tiada siapa yang terlepas melainkan sedikit sahaja.

Penduduk Eilah yang menjala pada hari Sabat mulia, semuanya bertukar menjadi kera yang hina. Kelak tatkala mereka semuanya menghadap Rabb yang Esa, di alam akhirat yang tidak pernah tua, mereka diseksa berulang kali tiadalah peri belasnya.

[Kredit Gambar]
Adapun sekumpulan manusia Eilah yang takut akan seksaan TuhanNya, mereka terlepas jua daripada seksaan keras neraka durjana. Itulah balasan Tuhan yang Pengasih, kepada mereka yang di dunianya melarang dari maksiat berulit noda.

Sedangkan manusia tolol yang melarang dari ayat-ayat TuhanNya, sayugia mereka juga dihumban ke dalam neraka terlalu amat peritnya, hatta melecur terbakar mulut dan hati yang ingkar kepada perintah yang mulia. Demikianlah akibat manusia yang keras kepalanya, busuk hatinya, adapun berat menjadi saksi ke atas kebenaran yang nyata.

Ya Allah! Jauhkanlah kami daripada azab api nerakaMu! [Kredit Gambar]

Demikianlah alkisah penduduk Eilah adanya, kisah kitab suci yang benar-benar belaka. Menjadi pengajaran berguna hendaknya, buat manusia alam buana, agar sentiasa ditanam di jiwa, kebenaran itu wajib jugalah disaksikan sebegitu rupa.

***

Kisah penduduk Eilah ini terkandung dalam surah al-A'raf, diceritakan melalui empat ayat ringkas bermula daripada ayat 163 sehinggalah ayat 166, juga di dalam surah al-Baqarah, ayat 65 dan 66.

Pengkisahan semula kisah mereka seperti di atas adalah berdasarkan kreativiti penulis semata-mata, dengan harapan pembaca akan lebih terkesan apabila membacanya.

"Dan siapakah yang lebih zalim daripada mereka yang meyembunyikan kesaksian yang telah diberikan Allah kepadanya?"
al-Baqarah, 2:140


Allahu A'lam. Moga mesej yang cuba hendak disampaikan berjaya meresap ke dalam jiwa. Dan moga kita semua akan menjadi saksi yang benar sebenar-benarnya di akhirat nanti..

p/s: blog inche gabbana agak menarik. stail penulisan agak santai, tapi ada mesej yang jelas. gaya bahasa agak klasik dan bersastera. yang pasti, bukan sastera indon! hekhekhek

No comments:

Post a Comment