Dari Abdullah bin 'Amr RodiyAllahu anh, Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sampaikanlah pesanku walaupun satu ayat..."

Saturday, March 19, 2011

tokoh: Sallahuddin Al Ayyubi

bismillahirrahmanirrahim~


Malammu disinar solat munajat
Siangmu dihias lonjakan jihad
Pembela insan yang miskin dan lara
Kemelut yang menyelubungi
Dalam sirah ummah
Kau ungkai dengan fatwa nubuwwah

Pernah kembara bagai pelarian
Akhir bertakhta penuh kemuliaan
Berkurung dendam demi keamanan
Bergemalah bumi Anbia
Takbir kemenangan
Menjulang iman hapus kemungkaran

Walaupun seisi dunia
Melutut di tapak kakimu
Tetapi kau pergi tanpa sisanya untuk diwarisi
Quran Hadith terpasak di kalbumu
Syair puisi pelembut rasamu
Tinta senjata lakaran mindamu
Darah juga airmatamu
Dakwat yang mewarna
Lembaran agung insan terulung
kau insan terulung

Jasamu Salahuddin
Bagai kasturi mewangi
Harumannya melewati
Baitul Maqdis yang suci
Walaupun jasadmu tiada
Semangatmu tetap menyala
Kekal menjadi aspirasi
Mujahid kini dan selamanya
selamanya..

Malammu disinar solat munajat
Siangmu dihias lonjakan jihad
Pembela insan yang miskin dan lara
Kemelut yang menyelubungi
Dalam sirah ummah
Kau ungkai dengan fatwa nubuwwah
Kaulah satria, kaulah perwira Fisabilillah

munsyid: mestica

Oleh Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus (UKM)

SALAHUDDIN al-Ayubi dilahirkan pada 532 Hijrah bersamaan 1138 Masihi di Kota Tarkit iaitu bahagian Tebing Barat Sungai Tigris, terletak di antara Mosul dan Baghdad. Beliau adalah anak gabenor.

Ayahnya, Najmuddin Ayub bin Shadhi adalah anak saudara kepada Sultan Nurudin Zenggi, berketurunan Kurdistan yang berasal dari Azerbaijan. Selain sebagai panglima perang, beliau adalah pendakwah, mujahid dan tokoh pemimpin Islam yang bukan daripada kalangan bangsa Arab.

Ketika hayatnya, beliau lebih banyak berada di khemah perang daripada duduk di istana bersama keluarga. Siapa saja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Apabila hendak memulakan jihad melawan tentera salib, beliau akan menumpukan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tentera.

Di medan perang, beliau bagaikan seorang ibu garang kehilangan anak tunggal. Beliau bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah.

Beliau juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinangan mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.

Ketika berusia 17 tahun, Salahuddin al-Ayubi mula berkhidmat dengan Nur al-Din di Damsyik. Beliau adalah panglima tentera, pemimpin dan pentadbir negara yang sangat berbakat dan sangat popular ketika zaman perang salib. Beliau membabitkan diri dalam peperangan salib di kawasan Mesir, Palestin dan Syria.

Beliau mula terkenal pada 559 Hijrah (1164 Masihi) apabila menyertai ekspedisi bersama-sama Shirkuh yang dihantar oleh Nur al-Din bagi menentang tentera Salib di Mesir. Beliau berjaya mengusir Amaury dari Mesir pada 1 Rabiulakhir 564 Hijrah (Januari 1969 Masihi). Selepas Shirkuh meninggal dunia, tempatnya diganti oleh Salahuddin al-Ayubi. Pada masa sama, Nur al-Din melantik beliau sebagai panglima angkatan tentera Syria.

Bagi memperkukuhkan tentera Islam, Salahuddin meminta negara Islam diurus di bawah satu pemerintahan. Walaupun cadangannya tidak dipersetujui sesetengah pihak termasuk pemimpin Syria, cita-cita Salahuddin itu termakbul.

Dalam bulan Zulkaedah 570 Hijrah (Mei 1175 Masihi), khalifah Abbasiyyah mengisytiharkan Salahuddin al-Ayubi sebagai Sultan Mesir dan menggelarkan dirinya sebagai Sultan al-Islam wa al-Muslimin. Pada tahun itu juga beliau membina kota pertahanan di Kaherah.

Pada tahun 583 Hijrah (1187 Masihi) berlaku Perang Salib kedua, yang juga dikenali sebagai Perang Hittin. Peperangan ini dipimpin sendiri oleh Salahuddin al-Ayubi hingga membuka jalan mudah untuk menawan kembali Baitulmaqdis.

Pada tahun 588 Hijrah (1192 Masihi) berlaku Perang Salib ketiga, hasil dendam dan kekecewaan golongan pembesar Kristian. Mereka berusaha merampas semula Baitulmaqdis daripada orang Islam. Walaupun perang Salib yang ketiga itu menggabungkan seluruh kekuatan negara Kristian, mereka tidak mampu menggugat kekuatan tentera Salahuddin al-Ayubi.

Pihak Kristian mengalami kekalahan dan ramai tentera terbunuh dan tertawan. Baitulmaqdis yang dikuasai orang Kristian selama 88 tahun, dapat ditakluki semula oleh Salahuddin al-Ayubi.

Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin ketika peperangan sangat jauh berbeza daripada kekejaman tentera Kristian. Ahli sejarah Kristian pun mengakui mengenai hal itu.

Lane-Poole (penulis Barat) mengesahkan, kebaikan hati Salahuddin mencegahnya daripada membalas dendam. Beliau menulis bahawa Salahuddin menunjukkan ketinggian akhlaknya ketika orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggungjawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan sehingga tidak ada kedengaran orang Kristian dianiaya.

Selanjutnya Lane-Poole menuliskan mengenai tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitulmaqdis kali pertama pada 1099. Tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem, jalan itu dipenuhi mayat, orang Islam yang tidak bersenjata diseksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah ibadat.

Darah membasahi bumi yang mengalir daripada pembunuhan orang Islam secara beramai-ramai. Ia juga mencemarkan kesucian gereja yang sebelumnya mengajar sifat berkasih sayang. Orang Kristian sangat bertuah apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin.

Beliau meninggal dunia pada 27 Safar 589 Hijrah (1193 Masihi) pada usia 55 tahun di Damsyik, Syria slepas memerintah selama 25 tahun. Beliau sakit selama 14 hari sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang harta untuk diwariskan. Beliau dikatakan hanya memiliki 47 dirham wang perak dan 1 dinar wang emas. Urusan penyelenggaraan jenazah ditanggung oleh keluarga beliau, manakala kain kafannya diberikan oleh menteri.


ada tambahan lagi

diambil dari sini


Diriwayatkan dalam sebuah kisah yang menarik, setelah Sultan Salahuddin al-Ayyubi berjaya menawan kembali Baitul Maqddis, beliau berjalan-jalan di sekeliling kota. Tiba-tiba beliau disapa oleh seorang lelaki tua beragama Kristian, katanya: “Wahai pahlawan agung, mengapa tuan tidak membalas semula tindakan kejam tentera salib terhadap tentera tuan?”

Jawab Sultan Salahuddin: “Wahai orang tua, agama kami bukan sahaja melarang sifat balas dendam, tetapi sangat menegah tindakan di luar batas perikemanusiaan seperti yang pernah musuh-musuh kami lakukan. Islam menyuruh kami menepati janji, memaafkan kesalahan orang lain dan melupakan kekejaman pihak musuh ketika mereka berkuasa.”

Orang tua itu berkata lagi: “Alangkah indahnya agama tuan! Saya ingin sangat menikmati kehidupan yang indah seperti itu pada sisa-sisa akhir hidup ini. Apakah yang patut saya lakukan untuk memeluk agama tuan yang mulia ini?”

Sultan Salahuddin menjawab: “Lafazkanlah syahadah, beriktikadlah bahawa Allah SWT itu Maha Esa dan Muhammad itu Rasul-Nya. Kemudian kerjakanlah apa yang Allah Taala perintahkan dan tinggalkanlah segala larangan-Nya.” Mendengar penjelasan itu, lelaki itupun terus mengucap dua kalimah syahadah dengan penuh keyakinan. - al-Kurauwi



p/s: dulu lagu ni letak jadi alarm clock. bersemangat nak bangun pagi2 bila dengar lirik

"malam mu disinar solat munajat, siangmu dihias lonjakan jihad"..

rasa sangat terinspirasi dengan Sallahuddin.. lama juga la guna lagu ni sebagai alarm clock..


2 comments: