Ternyata perkahwinan yang dicadangkan oleh Baginda pada Zainab dan ahli keluarganya tidak dipersetujui kerana terpengaruh dengan tradisi seperti yang telah disebutkan. Rasulullah membaca Firman Allah SWT :“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah Al-Ahzaab, Ayat 36).
Maka berlangsunglah perkahwinan Zaid dan Zainab walaupun Zainab asalnya hanya setuju di atas dasar taat kepada perintah Rasulullah. Zainab tetap tidak gembira dengan perkahwinan tersebut dan sikap dinginnya ini disedari oleh Zaid. Zaid mengadu kepada Rasulullah tentang masalah rumahtangga yang sedang dihadapinya namun Rasulullah bersabda : “Jangan ceraikan isteri anda itu dan bertaqwalah kepada Allah.”
Begitulah jawapan baginda setiap kali Zaid menggambarkan perkahwinannya dengan Zainab menuju kehancuran kerana Baginda tahu setelah terjadi penceraian tersebut, Zainab akan menjadi isterinya dan baginda khuatir cemuhan yang bakal menimpa diri baginda kerana amalan ini bertentangan dengan budaya tradisi bangsa Arab Quraisy pada masa itu. Lantaran itu, maka turunlah firman Allah SWT : “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya).“(Surah Al-Ahzaab, Ayat 37)
Al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani berkata: “Sebenarnya apa yang disembunyikan oleh Rasulullah SAW ialah berita yang diberita oleh Allah kepada baginda yang Zainab akan menjadi salah seorang isterinya.”
Setelah turunnya ayat tersebut, Zaid menceraikan Zainab lalu baginda melamarnya untuk dijadikan isteri baginda.
Lantaran itu dua lagi budaya jahiliyah berjaya dihappuskan. Perkahwinan baginda dengan Zainab telah menaikkan martabat Zainab yang pada mulanya telah berkahwin dengan seorang hamba dari keturunan bukan Arab Quraisy. Lazimnya jika terjadi penceraian perempuan seperti Zainab ini, makan tiada siapa yang akan mengahwininya selepas itu. Maka sekali lagi terjadi anjakan paradigma bagi masyarakat Arab dan martabat wanita dimuliakan.
Seterusnya, perkahwinan baginda dengan Zainab membatalkan budaya Arab Quraisy yang menyamakan status anak angkat dan anak sendiri. Ini merupakan objektif utama perkahwinan baginada dengan Zainab. Mari kita lihat sambungan surah Al-Ahzaab ayat 37 yang sering dinaqal secara separa oleh musuh-musuh Islam : “Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.“
Hal ini secara tidak langsung merealisasikan firman Allah SWT dalam membezakan anak angkat dan anak kandung sebagaimana berikut : “….. dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul.” (Surah Al-Ahzaab, Ayat 4)
Berbeza dengan kisah palsu yang menjatuhkan maruah Rasulullah SAW, kisah sahih ini menyerlahkan ketinggian akhlak serta peribadi Rasulullah sejajar dengan status enabian Baginda sebagai contoh terbaik bagi sekalian manusia. Firman Allah SWT : “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”(Surah Al-Qalam, Ayat 4)
Sumber : Majalah i keluaran 58
Rujuk juga : buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu DIperbetulkan Semula – Profesor Dr. Ibrahim Ali Sya’wat, Perniagaan Jahabersa, Johor Bharu 2005, ms. 75.
No comments:
Post a Comment