Dari Abdullah bin 'Amr RodiyAllahu anh, Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sampaikanlah pesanku walaupun satu ayat..."

Saturday, February 11, 2012

Pemilik Wali Paling Mulia: Zainab binti Jahsyi

bismillahirrahmanirrahim~

"Zainab binti Jahsy sering membanggakan kedudukanku di sisi Rasulullah. Padahal aku tidak pernah melihat seorang wanita yang lebih baik agamanya selain Zainab. Dia juga lebih bertakwa kepada Allah, lebih jujur perkataannya, paling banyak menyambung hubungan kekeluargaan, paling banyak sedekahnya dan paling banyak berkorban untuk hal-hal yang mendekatkan dirinya kepada Allah Subhanahu wa Taala.” [Saidatina Aishah radhiallahu anha]

Ummul Mukminin yang mulia ini menghimpun segala sisi keutamaan, kebajikan dan kemurahan hati yang menjadi kebanggaan bagi beliau melebihi isteri Rasulullah lainnya. Anak kepada bapa saudara beliau adalah hamba Allah paling mulia, iaitu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Datuknya dan datuk Rasulullah adalah satu. Bapa saudaranya adalah pemimpin para syuhada’, asaduLlah (Singa Allah), dan penunggang kuda RasulullahSallallahu Alaihi wa Sallam, iaitu Hamzah bin Abdul Muthalib. Saudaranya adalah pembawa bendera Islam yang pertama kali dikibarkan dan orang yang pertama digelar dengan sebutan Amirul Mukminin, juga salah seorang syuhada’, iaitu Abdullah bin Jahsy radiallahu anhu.

Saudaranya yang lain merupakan salah seorang penyair Islam, iaitu Abu Ahmad bin Jahsy. Saudarinya termasuk salah seorang wanita yang terdahulu memeluk Islam, iaitu Humnah binti Jahsy. Sedang ibunya, merupakan ibu saudara Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang diberi makanan oleh baginda sebanyak empat puluh wasaq, berupa kurma dari Khaibar, iaitu Umaimah binti Abdul Muthalib.

Zainab binti Jahsy radiallahu anha adalah satu-satunya wanita yang dinikahkan oleh Allah Subhanahu wa Taala dari atas langit ketujuh, manakala malaikat Jibril menjadi dutanya. Beliau dikenali sebagai wanita yang diberkati kerana lebih dahulu masuk Islam, ikut berhijrah dan berjihad, selain terkenal atas kesabaran dan kezuhudannya. Beliau dilahirkan tiga puluh tahun sebelum kerasulan, iaitu pada 590 Masihi di Makkah. Nama asalnya adalah Barrah (wanita yang baik). Hanya ketika Rasulullah menikahinya, baginda menamakannya Zainab. Beliau membesar di tengah-tengah Bani Asad dengan kemuliaan, kecantikan dan kedudukan yang terpandang lantaran keturunannya yang mulia.

Di saat Islam mulai berhembus menebarkan keharumannya di Ummul Qura, maka insan-insan yang memiliki akal dan hati yang bersih menerima risalah tersebut dan terbebas dari segala noda Jahiliyyah. Abdullah bin Jahsy termasuk di kalangan mereka yang mendengar dakwah ilal haq ini sehingga beliau langsung mengumumkan keislamannya. Beliau mengimani apa yang disampaikan oleh kerabatnya, baginda Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam, sehingga diikuti pula oleh keluarganya yang lain termasuk Zainab radiallahu anha. Sebelumnya, wanita mulia ini telah memiliki jiwa yang bersih, terhindar dari segala keburukan dan tradisi Jahiliyyah yang diliputi kegelapan. Setelah menerima risalah Islam, beliau menghadap kepada Allah dengan hatinya yang bersih, memurnikan keislamannya dengan keikhlasan yang menjadikannya tampil ke hadapan sebagai penghulu para wanita di dalam hal wara’, ketaqwaan, kemakrufan, kemurahan hati dan kebajikan.

Saksi Syariat Dari Atas Langit Ketujuh
Setelah datangnya Islam, di antara tujuannya ialah untuk menghilangkan perbezaan di antara manusia. Menghapuskan kebanggaan dan kelebihan yang didasarkan kepada fanatisme dan kebutaan jahiliyah. Hanya takwa yang menjadi timbangan dan tolok ukur darjat manusia di sisi Allah. Firman Allah Subhanahu wa Taala:

Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kalian” [TMQ Al-Hujurat:13]

Mulialah Zainab binti Jahsy yang menjadi pilihan Allah dan RasulNya demi memberi petunjuk kepada sekalian umat Muhammad. Lamaran Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam kepadanya buat maula (bekas hamba) baginda, Zaid bin Haritsah menjadi sebuah kesempitan kepada wanita ini. Fikirannya terkeliru dengan pelbagai persoalan yang datang satu persatu.. Bagaimana mungkin dia harus menerima pernikahan yang tidak seimbang ini? Bagaimana mungkin dia harus melangsungkan pernikahan dengan salah seorang maula padahal dia seorang wanita terhormat serta memiliki keturunan yang sangat mulia?. Lantas, beliau bersuara, ”Wahai Rasulullah, aku tidak meredhainya bagiku, kerana aku seorang wanita Quraisy yang belum bernikah”. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, ”Tetapi aku meredhainya bagimu”. Atas peristiwa ini, turunlah wahyu dari langit:

Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan wanita yang mukminah, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan, barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya, maka sungguhlah dia telah sesat, dengan sesat yang nyata” [TQS Al-Ahzab:36]

Ketaqwaan dan keimanan yang teguh meleburkan perbezaan darjat antara manusia. Atas dasar itu, Zainab tidak mempunyai alasan untuk menyalahi perintah Allah dan RasulNya. Namun, kehidupan suami isteri di antara keduanya hanya berlangsung dalam tempoh setahun. Kemudiannya, muncul perselisihan di antara keduanya, khususnya setelah Islam menghapuskan anak angkat melalui Firman Allah:

Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula" kamu dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” [TMQ Al Ahzab:5]. (Sebelumnya, Zaid merupakan anak angkat Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam).

Hubungan yang semakin tidak harmonis menghantarkan kepada pertemuan antara Zaid dengan Rasulullah untuk mengadu permasalahan rumahtangganya. Berkali-kali Zaid meminta persetujuan baginda untuk menceraikan Zainab, tetapi dijawab oleh baginda dengan sabdanya, ”Tahanlah isterimu dan bertaqwalah kepada Allah!”. Pada saat yang sama, Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam sebenarnya menyedari bahawa perceraian tersebut pasti akan terjadi dan Allah akan memerintahkan baginda untuk menikahi Zainab dalam rangka untuk menghapuskan bid’ah anak angkat. Perkhabaran tersebut telah disampaikan melalui Jibril, bahawa Zainab akan menjadi isteri baginda dan AllahSubhanahu wa Taala akan menggugurkan pernikahan Zainab dan Zaid. Hal ini menimbulkan keresahan di hati bagindaSallallahu Alaihi wa Sallam sebagai manusia biasa yang pasti akan berhadapan dengan celaan masyarakat jahiliyyah ketika itu lantaran baginda akan menikahi bekas isteri kepada ’anak’ baginda.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui hikmah di sebalik segala yang terjadi. TujuanNya tidak lain untuk menghapus segala tradisi anak angkat dan hukum-hukum jahiliyyah yang berakar di dalam masyarakat ketika itu. Teguran AllahSubhanahu wa Taala kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berkaitan hal ini terkandung di dalam ayat 37 surah Al-Ahzab:

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: Jangan ceraikan isterimu itu dan bertakwalah kepada Allah, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian) manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya) dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.” [TMQ Al-Ahzab: 37]

Begitulah perintah dari Allah, lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam melaksanakan perintah tersebut tanpa sedikit pun keberatan di dalam hati baginda. Zainab binti Jahsy memperolehi kemuliaan yang besar dari Allah Subhanahu wa Taala kerana menjadikannya salah seorang Ummahatul Mukminin. Tatkala tamat tempoh iddah Zainab, Rasulullah mengutuskan Zaid untuk melamarnya bagi diri baginda. Ibnu Abbas radhiallahu anhu berkata, ” Setelah Zainab diberitahu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ingin menikahi beliau, maka dia pun bersujud” [Tahdzibul-asma’ wal-lughat, 2/345]

Seperti yang diduga, pernikahan tersebut telah mencetuskan kekecohan di kalangan orang-orang munafik dan kaum kafir, “Bagaimana mungkin Muhammad melarang menikahi bekas isteri anak, namun dia sendiri menikahi bekas isteri anaknya, Zaid?”. Perkara ini kemudian disanggah oleh Allah Subhanahu wa Taala melalui firmanNya:

Tidaklah ada sebarang keberatan yang ditanggung oleh Nabi dalam melaksanakan perkara yang telah ditetapkan Allah baginya. (Yang demikian itu) adalah menurut peraturan Allah yang tetap, yang berlaku juga kepada Nabi-nabi yang telah lalu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu adalah satu ketetapan yang ditentukan berlakunya. Nabi-nabi yang telah lalu itu ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).” [TMQ Al-ahzab: 38-39]

Allah Subhanahu wa Taala juga menjelaskan kedudukan tentang anak angkat dan hak-hak yang menyertainya, serta melestarikan (keturunan) keluarga berdasarkan asas yang pasti dan jelas, mengembalikan hubungan nasab ke hubungan darah dan ayah, serta menolak untuk menjadikan anak angkat setaraf dengan anak kandung.

Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” [TMQ Al-ahzab: 40]

Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya; dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zhihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu saja. Dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan (yang benar).” [TMQ Al-ahzab:4]

Di antara rahmat pernikahan Zainab ini juga ialah turunnya ayat berkenaan hijab. Hal ini terjadi pada hari walimahnya dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Ketika baginda menikahinya, maka dilaksanakan majlis jamuan yang tidak pernah dilakukan sebelumnya. Ayat hijab ini diturunkan sebagai pengajaran dan petunjuk bagi manusia agar mereka tidak masuk ke rumah Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam tanpa izin dan jika diundang untuk menikmati jamuan, mereka boleh memasukinya. Setelah itu, hendaklah mereka pergi tanpa berlama-lamaan di situ dan berbincang-bincang. Selain itu, turunnya ayat berkenaan hijab ini merupakan permulaan kepada kewajiban hijab terhadapUmmahatul mukminin sekaligus barakah agar menjadi petunjuk kemuliaan, kesucian dan kebersihan mereka.

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga dia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran dan apabila kamu meminta sesuatu yang perlu diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah dia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah” [TMQ al Ahzab:53]

Keagungan Peribadi
Di antara kelebihan Zainab binti Jahsy ialah kesaksian Rasulullah baginya, yang berupa kekhusyukan. Kesaksian baginda inilah yang mengangkat kedudukan Zainab sehingga ke tingkatan yang tertinggi di dalam ibadah.Rasulullah Sallahu Alaihi wa Sallam sendiri pernah menuturkan,

Sesungguhnya Zainab binti Jahsy adalah wanita yang khusyuk lagi merendah diri”.

Abu Nu’aim Al-Asybahany memulai biografi sahabiyyah ini di dalam Al-Hilyah dengan menuturkan, “Dia adalah seorang wanita yang khusyuk, redha, kembali kepada Allah, lemah lembut dan banyak sekali berdoa” [Tahdzibul-Asma’ wal lughat, 2/344]

Inilah yang menjadikan Zainab binti Jahsy menyedari kelebihan beliau di sisi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Beliau suka mengucapkannya kepada Rasulullah seperti berikut:

Sesungguhnya aku benar-benar akan menunjukkan kepadamu tiga perkara yang tidak seorang pun di antara isterimu yang memilikinya; sesungguhnya datukmu dan datukku adalah satu, aku dinikahkan Allah denganmu dari langit ketujuh dan sesungguhnya dutanya adalah Jibril” [Al-Bidayah wan-nihayah, 4/146; Ansabul Asyraf, 1/435]

Hal ini turut diakui oleh Ummahatul Mukminin, Aisyah radiallahu anha yang memberi kesaksian bersifat khusus kepada sahabiyyah ini bagi menggambarkan kebenaran dan kekaguman beliau,

Semoga Allah merahmati Zainab binti Jahsy. Dia telah mendapat kemuliaan di dunia ini, yang tidak disaingi oleh kemuliaan orang lain. Sesungguhnya Allah menikahkannya dengan NabiNya di dunia dan menurunkannya di dalam Al-Quran

Zainab binti Jahsy sering membanggakan kedudukanku di sisi Rasulullah. Padahal aku tidak pernah melihat seorang wanita yang lebih baik agamanya selain Zainab. Dia juga lebih bertakwa kepada Allah, lebih jujur perkataannya, paling banyak menyambung hubungan kekeluargaan, paling banyak sedekahnya dan paling banyak berkorban untuk hal-hal yang mendekatkan dirinya kepada Allah Subhanahu wa Taala.”

Zainab jugalah yang mempertahankan kesucian Aisyah radiallahu anha ketika terjadinya mehnah hebat berupa fitnah kaum munafik yang menimpa ummahatul mukminin. Al-Bukhari meriwayatkan kesaksian kebaikan ini di dalam salah sebuah hadis Aisyah yang panjang tentang kes fitnah tersebut. Sebahagian perkataan Aisyah dinukilkan sebagai berikut,

Rasulullah Sallahu alaihi wa Sallam bertanya kepada Zainab binti Jahsy tentang urusanku. Baginda bertanya,’Wahai Zainab, apa yang engkau ketahui atau apa pendapatmu berkaitan Aisyah’. Beliau menjawab, ’Wahai Rasulullah, aku memelihara pendengaran dan penglihatanku. Aku tidak mengetahui kecuali yang baik

Di dalam kisah lain, Aisyah turut berkata,

Dialah yang membanggakan aku dari kalangan para isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, lalu Allah memeliharanya dengan wara’. Saudarinya, Humnah binti Jahsy juga turut melakukan serangan ke atas peribadi Aisyah, sehingga akhirnya dia binasa bersama-sama orang yang terlibat dalam berita bohong itu

Semoga Allah Subhanahu wa Taala meredhai Ummul Mukminin, Zainab binti Jahsy yang membenci fitnah. Beliau sentiasa memohon kepada Allah agar dirinya dijauhkan dari orang-orang yang dengki dan suka berbuat kerosakan. Beliau tidak mengatakan sesuatu kecuali kebaikan dan tidak memberi kesaksian kecuali secara benar, baik dan adil.

Ummul Mukminin, Ummu Salamah radiallahu anha turut tidak ketinggalan memberikan pujian ke atas sahabiyah ini. Beliau memuji ketakwaan dan ibadahnya dengan berkata,

Dia adalah wanita yang solehah, banyak berpuasa dan solat malam

Al-Imam Adz-Zahaby rahimahullah menukilkan pandangan beliau berkaitan peribadi Zainab binti Jahsy di dalam Tarikhul Islam dengan ungkapan pujian,

“Dia banyak beribadah, banyak kebajikan dan sedekahnya”.

Beliau juga termasuk salah seorang perawi hadits, yang meriwayatkan dari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallamsebelas buah hadits, sebahagian darinya telah ditakhrij di dalam Ash-Shahihain, dua buah hadith disepakati oleh Bukhari dan Muslim. Hadith beliau disebut di dalam kutubus-sittah (Adz-Zahaby r.a)

Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy bukanlah orang yang suka mengumpulkan harta dan kesenangan dari perbendaharaan dunia. Beliau biasa melakukan sendiri pekerjaannya seperti menyamak kulit dan menjahit lalu menjualkan hasil kerjanya untuk disedekahkan ke jalan Allah. Kemuliaan beliau di sisi Allah adalah lantaran kezuhudan pada kehidupan dunia. Barzah binti Rafi’ pernah menceritakan perihal peribadi Zainab radiallahu anha ini. Ketika Umar Al-Khattab mengirim utusan untuk memberikan bahagian harta yang menjadi milik Zainab, beliau lantas berkata,

Semoga Allah mengampuni Umar. Saudari-saudariku yang lain lebih memerlukan bahagian ini berbanding diriku”.

Beliau segera membahagi-bahagikan harta tersebut kepada beberapa orang kerabat yang miskin dan anak-anak yatim kaum Muslimin. Sehinggalah yang tersisa di tangannya hanya lapan puluh dirham. Lalu, beliau menadahkan tangannya ke langit dan berdoa,

Ya Allah, semoga aku tidak lagi menerima pemberian Umar setelah tahun ini”.

Maka, doanya dikabulkan oleh Allah Subhanahu wa Taala. Beliau meninggal dunia pada tahun itu juga.

Perginya Seorang Serikandi
Pada tahun 20 Hijrah bersamaan 641 Masihi, Zainab Ummul Mukminin mula merasakan dekatnya ajal beliau, dan dia sentiasa menyiapkan diri untuk pertemuan tersebut. Maka ketika ajalnya menghampiri, beliau berkata

Aku sudah menyiapkan kain kafanku, dan boleh jadi Umar akan mengirimkan kain kafan kepadaku. Jika dia mengirimkan kain kafan, maka sedekahkanlah salah satu di antaranya. Jika kalian mampu menjulurkan kain kafan hingga menutupi jasadku, lalu kalian menyedekahkan kain selimutku, maka lakukanlah” (Thabaqat Ibn Sa’ad, 8/109)

Zuhud di dunia dan dalam kesenangannya, sedekah dan kebajikan masih tetap mengalir pada saat-saat sakaratul maut mengintai dirinya. Benarlah gelaran buatnya sebagai Ummul masakin (ibu kepada orang-orang miskin). Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy radhiallahu Anha menjalani kehidupan jauh dari kemewahan dunia. Beliau lebih mengutamakan kehidupan akhiratnya, lantas menjadikan kehidupan dunia sebagai ladang untuk bercucuk tanam. Beliau sangat menyedari bahawa dunia ini tidak akan menyamai satu sayap lalat pun di sisi Allah kelak.

Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy telah mendapatkan khabar gembira sebagai penghuni syurga dari RasulullahSallallahu Alaihi wa Sallam, kerana beliaulah isteri yang pertama yang menyongsong kewafatan baginda. Hal ini turut diungkapkan oleh Saidatina Aisyah radhiallahu anha, sebagai berkata,

Semoga Allah merahmati Zainab binti Jahsy, kerana dia telah menerima kemuliaan di dunia ini, yang tidak dapat ditandingi oleh kemuliaan lainnya. Allah Subhanahu wa Taala menikahkannya dengan NabiNya di dunia dan menurunkan Al-Quran tentang hal tersebut. Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah bersabda kepada kami (para isteri Rasul) ketika kami berada di sekeliling baginda, ”Orang yang lebih dahulu bersua denganku (di syurga) ialah orang yang paling panjang lengannya (paling banyak bersedekah) di antara kalian”. Sesungguhnya dialah Zainab binti Jahsy, Ummul masakin.

Wallahu a’lam

sumber: sini

No comments:

Post a Comment