Wednesday, February 15, 2012
writer block
Saturday, February 11, 2012
Pemilik Wali Paling Mulia: Zainab binti Jahsyi
Ummul Mukminin yang mulia ini menghimpun segala sisi keutamaan, kebajikan dan kemurahan hati yang menjadi kebanggaan bagi beliau melebihi isteri Rasulullah lainnya. Anak kepada bapa saudara beliau adalah hamba Allah paling mulia, iaitu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Datuknya dan datuk Rasulullah adalah satu. Bapa saudaranya adalah pemimpin para syuhada’, asaduLlah (Singa Allah), dan penunggang kuda RasulullahSallallahu Alaihi wa Sallam, iaitu Hamzah bin Abdul Muthalib. Saudaranya adalah pembawa bendera Islam yang pertama kali dikibarkan dan orang yang pertama digelar dengan sebutan Amirul Mukminin, juga salah seorang syuhada’, iaitu Abdullah bin Jahsy radiallahu anhu.
Saudaranya yang lain merupakan salah seorang penyair Islam, iaitu Abu Ahmad bin Jahsy. Saudarinya termasuk salah seorang wanita yang terdahulu memeluk Islam, iaitu Humnah binti Jahsy. Sedang ibunya, merupakan ibu saudara Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang diberi makanan oleh baginda sebanyak empat puluh wasaq, berupa kurma dari Khaibar, iaitu Umaimah binti Abdul Muthalib.
Zainab binti Jahsy radiallahu anha adalah satu-satunya wanita yang dinikahkan oleh Allah Subhanahu wa Taala dari atas langit ketujuh, manakala malaikat Jibril menjadi dutanya. Beliau dikenali sebagai wanita yang diberkati kerana lebih dahulu masuk Islam, ikut berhijrah dan berjihad, selain terkenal atas kesabaran dan kezuhudannya. Beliau dilahirkan tiga puluh tahun sebelum kerasulan, iaitu pada 590 Masihi di Makkah. Nama asalnya adalah Barrah (wanita yang baik). Hanya ketika Rasulullah menikahinya, baginda menamakannya Zainab. Beliau membesar di tengah-tengah Bani Asad dengan kemuliaan, kecantikan dan kedudukan yang terpandang lantaran keturunannya yang mulia.
Di saat Islam mulai berhembus menebarkan keharumannya di Ummul Qura, maka insan-insan yang memiliki akal dan hati yang bersih menerima risalah tersebut dan terbebas dari segala noda Jahiliyyah. Abdullah bin Jahsy termasuk di kalangan mereka yang mendengar dakwah ilal haq ini sehingga beliau langsung mengumumkan keislamannya. Beliau mengimani apa yang disampaikan oleh kerabatnya, baginda Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam, sehingga diikuti pula oleh keluarganya yang lain termasuk Zainab radiallahu anha. Sebelumnya, wanita mulia ini telah memiliki jiwa yang bersih, terhindar dari segala keburukan dan tradisi Jahiliyyah yang diliputi kegelapan. Setelah menerima risalah Islam, beliau menghadap kepada Allah dengan hatinya yang bersih, memurnikan keislamannya dengan keikhlasan yang menjadikannya tampil ke hadapan sebagai penghulu para wanita di dalam hal wara’, ketaqwaan, kemakrufan, kemurahan hati dan kebajikan.
Saksi Syariat Dari Atas Langit Ketujuh
Setelah datangnya Islam, di antara tujuannya ialah untuk menghilangkan perbezaan di antara manusia. Menghapuskan kebanggaan dan kelebihan yang didasarkan kepada fanatisme dan kebutaan jahiliyah. Hanya takwa yang menjadi timbangan dan tolok ukur darjat manusia di sisi Allah. Firman Allah Subhanahu wa Taala:
”Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kalian” [TMQ Al-Hujurat:13]
Mulialah Zainab binti Jahsy yang menjadi pilihan Allah dan RasulNya demi memberi petunjuk kepada sekalian umat Muhammad. Lamaran Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam kepadanya buat maula (bekas hamba) baginda, Zaid bin Haritsah menjadi sebuah kesempitan kepada wanita ini. Fikirannya terkeliru dengan pelbagai persoalan yang datang satu persatu.. Bagaimana mungkin dia harus menerima pernikahan yang tidak seimbang ini? Bagaimana mungkin dia harus melangsungkan pernikahan dengan salah seorang maula padahal dia seorang wanita terhormat serta memiliki keturunan yang sangat mulia?. Lantas, beliau bersuara, ”Wahai Rasulullah, aku tidak meredhainya bagiku, kerana aku seorang wanita Quraisy yang belum bernikah”. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, ”Tetapi aku meredhainya bagimu”. Atas peristiwa ini, turunlah wahyu dari langit:
”Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan wanita yang mukminah, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan, barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya, maka sungguhlah dia telah sesat, dengan sesat yang nyata” [TQS Al-Ahzab:36]
Ketaqwaan dan keimanan yang teguh meleburkan perbezaan darjat antara manusia. Atas dasar itu, Zainab tidak mempunyai alasan untuk menyalahi perintah Allah dan RasulNya. Namun, kehidupan suami isteri di antara keduanya hanya berlangsung dalam tempoh setahun. Kemudiannya, muncul perselisihan di antara keduanya, khususnya setelah Islam menghapuskan anak angkat melalui Firman Allah:
”Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula" kamu dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” [TMQ Al Ahzab:5]. (Sebelumnya, Zaid merupakan anak angkat Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam).
Hubungan yang semakin tidak harmonis menghantarkan kepada pertemuan antara Zaid dengan Rasulullah untuk mengadu permasalahan rumahtangganya. Berkali-kali Zaid meminta persetujuan baginda untuk menceraikan Zainab, tetapi dijawab oleh baginda dengan sabdanya, ”Tahanlah isterimu dan bertaqwalah kepada Allah!”. Pada saat yang sama, Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam sebenarnya menyedari bahawa perceraian tersebut pasti akan terjadi dan Allah akan memerintahkan baginda untuk menikahi Zainab dalam rangka untuk menghapuskan bid’ah anak angkat. Perkhabaran tersebut telah disampaikan melalui Jibril, bahawa Zainab akan menjadi isteri baginda dan AllahSubhanahu wa Taala akan menggugurkan pernikahan Zainab dan Zaid. Hal ini menimbulkan keresahan di hati bagindaSallallahu Alaihi wa Sallam sebagai manusia biasa yang pasti akan berhadapan dengan celaan masyarakat jahiliyyah ketika itu lantaran baginda akan menikahi bekas isteri kepada ’anak’ baginda.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui hikmah di sebalik segala yang terjadi. TujuanNya tidak lain untuk menghapus segala tradisi anak angkat dan hukum-hukum jahiliyyah yang berakar di dalam masyarakat ketika itu. Teguran AllahSubhanahu wa Taala kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berkaitan hal ini terkandung di dalam ayat 37 surah Al-Ahzab:
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: Jangan ceraikan isterimu itu dan bertakwalah kepada Allah, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian) manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya) dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.” [TMQ Al-Ahzab: 37]
Begitulah perintah dari Allah, lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam melaksanakan perintah tersebut tanpa sedikit pun keberatan di dalam hati baginda. Zainab binti Jahsy memperolehi kemuliaan yang besar dari Allah Subhanahu wa Taala kerana menjadikannya salah seorang Ummahatul Mukminin. Tatkala tamat tempoh iddah Zainab, Rasulullah mengutuskan Zaid untuk melamarnya bagi diri baginda. Ibnu Abbas radhiallahu anhu berkata, ” Setelah Zainab diberitahu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ingin menikahi beliau, maka dia pun bersujud” [Tahdzibul-asma’ wal-lughat, 2/345]
Seperti yang diduga, pernikahan tersebut telah mencetuskan kekecohan di kalangan orang-orang munafik dan kaum kafir, “Bagaimana mungkin Muhammad melarang menikahi bekas isteri anak, namun dia sendiri menikahi bekas isteri anaknya, Zaid?”. Perkara ini kemudian disanggah oleh Allah Subhanahu wa Taala melalui firmanNya:
“Tidaklah ada sebarang keberatan yang ditanggung oleh Nabi dalam melaksanakan perkara yang telah ditetapkan Allah baginya. (Yang demikian itu) adalah menurut peraturan Allah yang tetap, yang berlaku juga kepada Nabi-nabi yang telah lalu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu adalah satu ketetapan yang ditentukan berlakunya. Nabi-nabi yang telah lalu itu ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).” [TMQ Al-ahzab: 38-39]
Allah Subhanahu wa Taala juga menjelaskan kedudukan tentang anak angkat dan hak-hak yang menyertainya, serta melestarikan (keturunan) keluarga berdasarkan asas yang pasti dan jelas, mengembalikan hubungan nasab ke hubungan darah dan ayah, serta menolak untuk menjadikan anak angkat setaraf dengan anak kandung.
”Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” [TMQ Al-ahzab: 40]
“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya; dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zhihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu saja. Dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan (yang benar).” [TMQ Al-ahzab:4]
Di antara rahmat pernikahan Zainab ini juga ialah turunnya ayat berkenaan hijab. Hal ini terjadi pada hari walimahnya dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Ketika baginda menikahinya, maka dilaksanakan majlis jamuan yang tidak pernah dilakukan sebelumnya. Ayat hijab ini diturunkan sebagai pengajaran dan petunjuk bagi manusia agar mereka tidak masuk ke rumah Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam tanpa izin dan jika diundang untuk menikmati jamuan, mereka boleh memasukinya. Setelah itu, hendaklah mereka pergi tanpa berlama-lamaan di situ dan berbincang-bincang. Selain itu, turunnya ayat berkenaan hijab ini merupakan permulaan kepada kewajiban hijab terhadapUmmahatul mukminin sekaligus barakah agar menjadi petunjuk kemuliaan, kesucian dan kebersihan mereka.
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga dia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran dan apabila kamu meminta sesuatu yang perlu diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah dia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah” [TMQ al Ahzab:53]
Keagungan Peribadi
Di antara kelebihan Zainab binti Jahsy ialah kesaksian Rasulullah baginya, yang berupa kekhusyukan. Kesaksian baginda inilah yang mengangkat kedudukan Zainab sehingga ke tingkatan yang tertinggi di dalam ibadah.Rasulullah Sallahu Alaihi wa Sallam sendiri pernah menuturkan,
“Sesungguhnya Zainab binti Jahsy adalah wanita yang khusyuk lagi merendah diri”.
Abu Nu’aim Al-Asybahany memulai biografi sahabiyyah ini di dalam Al-Hilyah dengan menuturkan, “Dia adalah seorang wanita yang khusyuk, redha, kembali kepada Allah, lemah lembut dan banyak sekali berdoa” [Tahdzibul-Asma’ wal lughat, 2/344]
Inilah yang menjadikan Zainab binti Jahsy menyedari kelebihan beliau di sisi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Beliau suka mengucapkannya kepada Rasulullah seperti berikut:
“Sesungguhnya aku benar-benar akan menunjukkan kepadamu tiga perkara yang tidak seorang pun di antara isterimu yang memilikinya; sesungguhnya datukmu dan datukku adalah satu, aku dinikahkan Allah denganmu dari langit ketujuh dan sesungguhnya dutanya adalah Jibril” [Al-Bidayah wan-nihayah, 4/146; Ansabul Asyraf, 1/435]
Hal ini turut diakui oleh Ummahatul Mukminin, Aisyah radiallahu anha yang memberi kesaksian bersifat khusus kepada sahabiyyah ini bagi menggambarkan kebenaran dan kekaguman beliau,
“Semoga Allah merahmati Zainab binti Jahsy. Dia telah mendapat kemuliaan di dunia ini, yang tidak disaingi oleh kemuliaan orang lain. Sesungguhnya Allah menikahkannya dengan NabiNya di dunia dan menurunkannya di dalam Al-Quran”
“Zainab binti Jahsy sering membanggakan kedudukanku di sisi Rasulullah. Padahal aku tidak pernah melihat seorang wanita yang lebih baik agamanya selain Zainab. Dia juga lebih bertakwa kepada Allah, lebih jujur perkataannya, paling banyak menyambung hubungan kekeluargaan, paling banyak sedekahnya dan paling banyak berkorban untuk hal-hal yang mendekatkan dirinya kepada Allah Subhanahu wa Taala.”
Zainab jugalah yang mempertahankan kesucian Aisyah radiallahu anha ketika terjadinya mehnah hebat berupa fitnah kaum munafik yang menimpa ummahatul mukminin. Al-Bukhari meriwayatkan kesaksian kebaikan ini di dalam salah sebuah hadis Aisyah yang panjang tentang kes fitnah tersebut. Sebahagian perkataan Aisyah dinukilkan sebagai berikut,
“Rasulullah Sallahu alaihi wa Sallam bertanya kepada Zainab binti Jahsy tentang urusanku. Baginda bertanya,’Wahai Zainab, apa yang engkau ketahui atau apa pendapatmu berkaitan Aisyah’. Beliau menjawab, ’Wahai Rasulullah, aku memelihara pendengaran dan penglihatanku. Aku tidak mengetahui kecuali yang baik”
Di dalam kisah lain, Aisyah turut berkata,
“Dialah yang membanggakan aku dari kalangan para isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, lalu Allah memeliharanya dengan wara’. Saudarinya, Humnah binti Jahsy juga turut melakukan serangan ke atas peribadi Aisyah, sehingga akhirnya dia binasa bersama-sama orang yang terlibat dalam berita bohong itu”
Semoga Allah Subhanahu wa Taala meredhai Ummul Mukminin, Zainab binti Jahsy yang membenci fitnah. Beliau sentiasa memohon kepada Allah agar dirinya dijauhkan dari orang-orang yang dengki dan suka berbuat kerosakan. Beliau tidak mengatakan sesuatu kecuali kebaikan dan tidak memberi kesaksian kecuali secara benar, baik dan adil.
Ummul Mukminin, Ummu Salamah radiallahu anha turut tidak ketinggalan memberikan pujian ke atas sahabiyah ini. Beliau memuji ketakwaan dan ibadahnya dengan berkata,
“Dia adalah wanita yang solehah, banyak berpuasa dan solat malam”
Al-Imam Adz-Zahaby rahimahullah menukilkan pandangan beliau berkaitan peribadi Zainab binti Jahsy di dalam Tarikhul Islam dengan ungkapan pujian,
“Dia banyak beribadah, banyak kebajikan dan sedekahnya”.
Beliau juga termasuk salah seorang perawi hadits, yang meriwayatkan dari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallamsebelas buah hadits, sebahagian darinya telah ditakhrij di dalam Ash-Shahihain, dua buah hadith disepakati oleh Bukhari dan Muslim. Hadith beliau disebut di dalam kutubus-sittah (Adz-Zahaby r.a)
Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy bukanlah orang yang suka mengumpulkan harta dan kesenangan dari perbendaharaan dunia. Beliau biasa melakukan sendiri pekerjaannya seperti menyamak kulit dan menjahit lalu menjualkan hasil kerjanya untuk disedekahkan ke jalan Allah. Kemuliaan beliau di sisi Allah adalah lantaran kezuhudan pada kehidupan dunia. Barzah binti Rafi’ pernah menceritakan perihal peribadi Zainab radiallahu anha ini. Ketika Umar Al-Khattab mengirim utusan untuk memberikan bahagian harta yang menjadi milik Zainab, beliau lantas berkata,
“Semoga Allah mengampuni Umar. Saudari-saudariku yang lain lebih memerlukan bahagian ini berbanding diriku”.
Beliau segera membahagi-bahagikan harta tersebut kepada beberapa orang kerabat yang miskin dan anak-anak yatim kaum Muslimin. Sehinggalah yang tersisa di tangannya hanya lapan puluh dirham. Lalu, beliau menadahkan tangannya ke langit dan berdoa,
“Ya Allah, semoga aku tidak lagi menerima pemberian Umar setelah tahun ini”.
Maka, doanya dikabulkan oleh Allah Subhanahu wa Taala. Beliau meninggal dunia pada tahun itu juga.
Perginya Seorang Serikandi
Pada tahun 20 Hijrah bersamaan 641 Masihi, Zainab Ummul Mukminin mula merasakan dekatnya ajal beliau, dan dia sentiasa menyiapkan diri untuk pertemuan tersebut. Maka ketika ajalnya menghampiri, beliau berkata
“Aku sudah menyiapkan kain kafanku, dan boleh jadi Umar akan mengirimkan kain kafan kepadaku. Jika dia mengirimkan kain kafan, maka sedekahkanlah salah satu di antaranya. Jika kalian mampu menjulurkan kain kafan hingga menutupi jasadku, lalu kalian menyedekahkan kain selimutku, maka lakukanlah” (Thabaqat Ibn Sa’ad, 8/109)
Zuhud di dunia dan dalam kesenangannya, sedekah dan kebajikan masih tetap mengalir pada saat-saat sakaratul maut mengintai dirinya. Benarlah gelaran buatnya sebagai Ummul masakin (ibu kepada orang-orang miskin). Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy radhiallahu Anha menjalani kehidupan jauh dari kemewahan dunia. Beliau lebih mengutamakan kehidupan akhiratnya, lantas menjadikan kehidupan dunia sebagai ladang untuk bercucuk tanam. Beliau sangat menyedari bahawa dunia ini tidak akan menyamai satu sayap lalat pun di sisi Allah kelak.
Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy telah mendapatkan khabar gembira sebagai penghuni syurga dari RasulullahSallallahu Alaihi wa Sallam, kerana beliaulah isteri yang pertama yang menyongsong kewafatan baginda. Hal ini turut diungkapkan oleh Saidatina Aisyah radhiallahu anha, sebagai berkata,
“Semoga Allah merahmati Zainab binti Jahsy, kerana dia telah menerima kemuliaan di dunia ini, yang tidak dapat ditandingi oleh kemuliaan lainnya. Allah Subhanahu wa Taala menikahkannya dengan NabiNya di dunia dan menurunkan Al-Quran tentang hal tersebut. Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah bersabda kepada kami (para isteri Rasul) ketika kami berada di sekeliling baginda, ”Orang yang lebih dahulu bersua denganku (di syurga) ialah orang yang paling panjang lengannya (paling banyak bersedekah) di antara kalian”. Sesungguhnya dialah Zainab binti Jahsy, Ummul masakin.
Wallahu a’lam
Zainab binti Jahsyi RA
Ternyata perkahwinan yang dicadangkan oleh Baginda pada Zainab dan ahli keluarganya tidak dipersetujui kerana terpengaruh dengan tradisi seperti yang telah disebutkan. Rasulullah membaca Firman Allah SWT :“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah Al-Ahzaab, Ayat 36).
Maka berlangsunglah perkahwinan Zaid dan Zainab walaupun Zainab asalnya hanya setuju di atas dasar taat kepada perintah Rasulullah. Zainab tetap tidak gembira dengan perkahwinan tersebut dan sikap dinginnya ini disedari oleh Zaid. Zaid mengadu kepada Rasulullah tentang masalah rumahtangga yang sedang dihadapinya namun Rasulullah bersabda : “Jangan ceraikan isteri anda itu dan bertaqwalah kepada Allah.”
Begitulah jawapan baginda setiap kali Zaid menggambarkan perkahwinannya dengan Zainab menuju kehancuran kerana Baginda tahu setelah terjadi penceraian tersebut, Zainab akan menjadi isterinya dan baginda khuatir cemuhan yang bakal menimpa diri baginda kerana amalan ini bertentangan dengan budaya tradisi bangsa Arab Quraisy pada masa itu. Lantaran itu, maka turunlah firman Allah SWT : “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya).“(Surah Al-Ahzaab, Ayat 37)
Al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani berkata: “Sebenarnya apa yang disembunyikan oleh Rasulullah SAW ialah berita yang diberita oleh Allah kepada baginda yang Zainab akan menjadi salah seorang isterinya.”
Setelah turunnya ayat tersebut, Zaid menceraikan Zainab lalu baginda melamarnya untuk dijadikan isteri baginda.
Lantaran itu dua lagi budaya jahiliyah berjaya dihappuskan. Perkahwinan baginda dengan Zainab telah menaikkan martabat Zainab yang pada mulanya telah berkahwin dengan seorang hamba dari keturunan bukan Arab Quraisy. Lazimnya jika terjadi penceraian perempuan seperti Zainab ini, makan tiada siapa yang akan mengahwininya selepas itu. Maka sekali lagi terjadi anjakan paradigma bagi masyarakat Arab dan martabat wanita dimuliakan.
Seterusnya, perkahwinan baginda dengan Zainab membatalkan budaya Arab Quraisy yang menyamakan status anak angkat dan anak sendiri. Ini merupakan objektif utama perkahwinan baginada dengan Zainab. Mari kita lihat sambungan surah Al-Ahzaab ayat 37 yang sering dinaqal secara separa oleh musuh-musuh Islam : “Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.“
Hal ini secara tidak langsung merealisasikan firman Allah SWT dalam membezakan anak angkat dan anak kandung sebagaimana berikut : “….. dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul.” (Surah Al-Ahzaab, Ayat 4)
Berbeza dengan kisah palsu yang menjatuhkan maruah Rasulullah SAW, kisah sahih ini menyerlahkan ketinggian akhlak serta peribadi Rasulullah sejajar dengan status enabian Baginda sebagai contoh terbaik bagi sekalian manusia. Firman Allah SWT : “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”(Surah Al-Qalam, Ayat 4)
Sumber : Majalah i keluaran 58
Rujuk juga : buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu DIperbetulkan Semula – Profesor Dr. Ibrahim Ali Sya’wat, Perniagaan Jahabersa, Johor Bharu 2005, ms. 75.
Thursday, February 9, 2012
sunat hari Jumaat.
Berikut perkara-perkara yang disunatkan pada hari jumaat:
1) Disunnahkan berdoa
kerana berdoa pada hari itu akan dikabulkan terutama pada waktu/saat mustajab (mudah terkabul doa).
Doa yang paling disukai oleh RasulullahS.A.W adalah meminta kebaikan di dunia dan akhirat dan meminta perlindungan dari neraka. Dalam suatu hadith bahawa orang yang meminta dimasukkan ke dalam syurga maka syurga mengatakan:
“Ya Allah, masukkan dia ke dalam syurga.” Dan barang siapa yang meminta perlindungan neraka kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala maka neraka akan berkata: “Ya Allah, lindungilah dia dari neraka.” - (HR. Tirmidzi dan disahihkan oleh Al-Albani dalam Shahihul Jami’ no. 6151/6, lihat Shifatun Naar fil Kitab was Sunnah oleh Mahmud bin Khalifah Al-Jasim)
2) Disunnahkan memperbanyak bacaan salawat Nabi sallallahu `alaihi wasallam
Hadith dari Aus bin Aus radliallahu `anhu berkata bahawa Rasulullah S.A.W pernah berkata:
“Seutama-utama hari adalah hari Jumaat. Padanya diciptakan dan dimatikan Adam alaihis salam, ditiup sangkakala dan dibinasakannya manusia. Oleh kerana itu perbanyaklah salawat atasku pada hari itu karena shlawatmu akan sampai kepadaku.” Para shahabat bertanya: “Bagaimana boleh sampai sedangkan jasadmu telah dimakan tanah?” Berkata: “Allah Subhanahu waTa`ala mengharamkan tanah untuk memakan (membusukkan) jasad para Nabi.” - (HR. Abu Dawud, Sahih, lihat Sahih Sunan Abu Dawud hal. 196 hadith no.925 oleh Syaikh Nashiruddin Al-Albani)
3) Disunnahkan membaca surah Al-Kahfi pada siang hari atau malam harinya sebagaimana pendapat Imam Syafi’i (Lihat Al-Adzkar oleh ImamNawawi).
Seorang muslim yang menghafal sepuluh atau tiga ayat pertama dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal, atau siapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dan sepuluh ayat dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal. Dalilnya adalah hadith dari Abu Darda radliallahu `anhu dri Nabi shallallahu `alaihi wa sallam berkata:
“Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat pertama dari surah Al- Kahfi terjaga dari fitnah Dajjal.” - (HR. Muslim, Abu Dawud, Nasai, Tirmidzi)
Pada lafaz Tirmidzi:
“Barangsiapa menghafal tiga ayat dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.” Dia berkata: “Hadith hasan.”
Pada hadith yang diriwayatkan dari Imam Ahmad dari Abu Darda radliallahu`anhu bahawa Nabi S.A.W berkata;
“Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.”
Hadith tersebut juga diriwayatkan oleh Muslim dan Nasai dari Qatadah radliallahu `anhu. Dan pada lafaz Nasai menyatakan:
“Barangsiapa membaca sepuluh ayat (mana saja) dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.”
Disunnahkan pula membaca surah Alif Laam miim tanziil as-sajadah dan Hal ata `alal insan pada solat fajar (subuh). Abu Hurairah mengatakan:
“Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam membaca surah Alif Laam miim tanziil as-sajadah dan Hal ata `alal insan pada solat subuh hari Jumaat.” - (Muttafaqun `alaihi)
Menurut Ath-Thabrani dari Ibnu Mas’ud bahawa Nabi S.A.W terus menerus membaca kedua surah tersebut. Menurut riwayat dari Ibnu Abbas dan Abi Hurairah radliallahu `anhum berkata bahawa :
Rasulullah S.A.W membaca surah Al-Jumaat dan Munafiqun pada hari Jumaat (HR. Muslim). Demikian pula Nabi S.A.W membaca surah Sabbihisma dan Al-Ghasyiyah pada solat Jumaat (lihat Tafsir Ibnu Katsir surah Al-A`la dan Al-Ghasyiyah).
-banyakkanlah berdoa, selawat, baca surah al-kahfi-
Sumber: http://muscom.iluvislam.com
Saturday, February 4, 2012
Rindu Rasulullah pada kita
Adakah kita merindui Nabi Muhammad SAW setiap hari? Atau kita hanya merasa rindu ketika sambutan Maulid Nabi? Fikir-fikirkan.
Mari kita renungi sebuah kisah yang menunjukkan betapa baginda amat merindui kita; umat akhir zaman.
..................................................
Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar.
Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.
Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai.
Wajahnya yang tenang berubah warna.
"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.
"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.
"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.
Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.
Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."
Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.
Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.
"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.
"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.
"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.
Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.