Dari Abdullah bin 'Amr RodiyAllahu anh, Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sampaikanlah pesanku walaupun satu ayat..."

Monday, November 7, 2011

manusia yang suka tak puas hati

bismillahirrahmanirrahim~

Bila kita jadi jahat, ORANG BENCI...
Bila jadi baik, ORANG MELUAT...
Bila kita ikut suruhan agama, ada orang kata kita BERLAGAK ALIM...
Bila kita langgar suruhan agama, ada orang kata "ASTAGHFIRULLAH.. APA LAA NAK JADI.. NAK KIAMAT KOT?..."

Bila kita ikut peraturan, ada orang kata kita SKEMA...
Bila kita langgar peraturan, ada orang kata kita ni macam TAKDE MASA DEPAN... Bila kita tegur dengan baik, ada orang kata kita ni BAJET BAGOS...
Bila kita tegur dengan kasar, ada orang kata kita ni KURANG AJAR...
Bila kita pakai sopan-sopan, ada orang kata kita ni 'KAMPONG GILERR'...

Bila kita pakai 'dedah sana-sini'.. ada orang kata kita ni TAKDE HARGA DIRI sebab tayang free...
Bila kita bagi nasihat, ada orang kata "JANGAN SIBUK JAGA TEPI KAIN ORANG, BOLEH?!....."
Bila kita sindir-menyindir, ada orang kata "TAK RETI BAGI NASIHAT LEKLOK?.."... Bila kita tolong buat kerja, ada orang kata "YANG SEBOK SANGAT NAK TOLONG BUAT KEJE ORANG LAIN NI WATPE!?"...
Bila kita tak tolong apa-apa, ada orang kata "APSAL PEMALAS SANGAT NI? NAK TOLONG PON SUSAH?"..

Dan sebenarnya ramai orang lain tak berpuas hati dengan diri kita. Apa yang kita buat semua salah. Semuanya tak betul di mata mereka.. Kalau buat salah sudah tentunya salah, tetapi jika buat baik pun masih ada yang mengata.. ingat pesanan ini :- Keputusan yang kita ambil, langkah yang kita mula.. perkara pertama yang perlu kita fikirkan ialah pandangan Allah SWT terhadap kita.. bukan pandangan manusia..

Ingatlah Pesanan Lukman Al-Hakim kepada Anaknya..

dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Al-Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut daripada belakang. Melihat tingkahlaku Luqman itu, setengah orang pun berkata;

“Lihat itu, orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki”.

Setelah mendengar desas-desus daripada orang ramai, maka Luqman pun turun daripada himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di kawasan itu berkata pula;

“Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu”.

Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi;

“Lihat itu, dua orang menaiki seekor himar, sungguh menyeksakan himar itu”.

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun daripada himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata;

“Lihat, dua orang yang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderaikan, membazir”.

Dalam perjalanan ke rumah, Luqman Al-hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya;
“Sesungguhnya tiada seorang pun terlepas daripada percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan pertimbangan Allah s.w.t sahaja (pandangan manusia yang baik boleh diambil). Barangsiapa mengenali kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu”

dari fb.

menghayati erti aidil adha~



bismillahirrahmanirrahim~

HARI Aidiladha adalah satu hari kebesaran Islam dan juga hari perayaan bagi umat Islam. Sesungguhnya Allah menganugerahkan kepada umat Islam dua hari untuk mereka makan dan minum serta bergembira iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Oleh kerana itu, umat Islam diharamkan berpuasa pada kedua-dua hari perayaan besar itu. Aidilfitri disambut sebagai tanda kemenangan dan kejayaan selepas berpuasa sebulan penuh Ramadan sementara Aidiladha pula diraikan sebagai simbol salah satu syiar Islam teragung yang cukup sinonim dengannya iaitu ibadat haji.

Aidiladha yang juga dikenali sebagai hari raya korban adalah kerana hari itu adalah hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim di dalam menunaikan perintah Allah dan juga kesabaran anaknya Nabi Ismail memenuhi perintah Ilahi seperti yang termaktub lewat firman-Nya yang bermaksud: Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya), Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.

Di dalam melaksanakan perintah Allah itu, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail menyerahkan diri mereka sepenuhnya kepada Allah di dalam menunaikan perintah Ilahi sehingga dengan kurniaan Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih, Allah mengirimkan seekor kibas untuk menggantikan Nabi Ismail.

Dalam hal ini, Allah merakamkan kisah berkenaan melalui firman-Nya yang bermaksud: Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim!. Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. (Surah al-Saaffaat, ayat 104- 108).

Aidiladha juga dikenali sebagai hari raya haji kerana diperintahkan juga di dalam bulan mulia ini, umat Islam yang berkemampuan untuk menunaikan ibadat haji ke Baitullah al-Haram. Ibadat haji yang dilaksanakan oleh setiap jemaah haji pada setiap tahun membawa bersamanya seribu satu unsur pengajaran dan pendidikan dalam kehidupan sejagat.

Alangkah baiknya jika setiap jemaah haji dan juga umat Islam seluruhnya dapat menghayati kesan-kesan pengajaran yang tersurat dan tersirat di sebalik ibadat haji itu yang bukan hanya setakat kesan fizikal dari segi ibadah saja, malahan ibadah haji mendidik betapa peri pentingnya pengorbanan untuk mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

Untuk mendapat keredaan Ilahi dan pengampunan-Nya, ia bukanlah satu perkara yang cukup mudah dan murah. Sebaliknya ia menuntut satu pengorbanan besar dan juga iltizam tinggi di mana ganjaran besar yang disediakan Allah bagi haji yang mabrur ialah pengampunan dosa seumpama bayi yang baru lahir dan suci serta bersih dari nodaan dosa.

Justeru, untuk meraih peluang keemasan dan ganjaran besar itu, maka tidak dapat tidak ia memerlukan satu pengorbanan yang jitu, kesabaran yang nekad dan juga iltizam yang tinggi.

Perlu ditegaskan bahawa hari raya dalam bulan Zulhijah bukan hanya pada 10 hari bulan, bahkan ia berlanjutan dari hari ke-11, 12 dan ke-13 yang juga lebih dikenali sebagai hari Tasyrik. Umat Islam juga diharamkan berpuasa pada hari Tasyrik itu.

Seterusnya, umat Islam disunatkan untuk bertakbir, bertahmid dan bertasbih mulai dari solat Subuh hari Arafah sehingga solat Asar hari ke 13 Zulhijjah. Ia dilakukan selepas setiap solat sama ada solat fardu mahupun solat sunat.

Umat Islam dianjurkan agar memperbanyakkan ibadat pada malam Aidiladha berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan dua malam Aidilfitri dan Aidiladha (dengan ibadat), maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana hati-hati manusia akan mati (iaitu leka dari mengingati Allah). (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Selain itu, salah satu ciri keistimewaan yang cukup signifikan berkenaan Aidiladha dan juga hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ini kerana ibadat korban hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula dari waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Ia juga adalah satu cara untuk kita mendekatkan diri kita kepada Allah. Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan kepada takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (Surah al-Hajj, ayat 37)

Di samping itu, ibadat korban ini memberikan peluang kepada setiap Muslim untuk menyucikan dirinya daripada sebarang penyakit hati dan juga segala dosa yang mungkin melekat di dasar jiwa. Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda maksudnya: Tidaklah anak Adam mengerjakan sesuatu pekerjaan pada hari korban yang lebih dicintai Allah dari mengalirkan darah haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, kuku dan bulunya. Sesungguhnya darah haiwan akan diterima Allah sebelum jatuh di tempat sembelihannya. Maka sucikanlah diri kamu dengan menyembelih haiwan korban. (Hadis riwayat Ibnu Majah & Tirmizi).

Dari sudut lain, ibadat korban ini adalah satu mekanisme yang konkrit untuk mempereratkan lagi jalinan kemesraan dan kasih sayang sesama masyarakat. Mereka berkemampuan melakukan ibadat korban ini akan mengagih-agihkan sebahagian daging korban kepada golongan yang kurang bernasib baik terutama fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim dan seumpamanya.

Semua ini adalah satu manifestasi dari makna kesyukuran ke hadrat Allah di atas segala kurniaan nikmat yang tiada terhitung kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud: Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya; maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan ia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. (Surah al-Hajj, ayat 36).

Selanjutnya, sesiapa yang menjalankan ibadat korban ini disunatkan agar menyembelih binatang korban itu sendiri dan jika tidak mampu, dia hendaklah menyaksikan upacara korban itu terutama apabila darah pertama mula mengalir ke bumi kerana pada waktu itulah Allah akan mengampuni dosa-dosa yang lalu daripada orang yang melakukan korban itu.

Dalam hal ini, Rasulullah menyuruh puterinya Saidatina Fatimah untuk menyaksikan sendiri upacara ibadat korban yang dijalankan atas namanya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: Bangunlah dan pergilah saksikan ibadat korban kamu kerana sesungguhnya pada titisan darah pertama yang mengalir akan diampunkan dosa kamu yang lepas. Fatimah bertanya kembali: Wahai Rasulullah! Apakah ia khusus kepada ahli keluarga atau umum kepada umat Islam? Jawab Baginda: Bahkan kepada seluruh umat Islam. (Hadis riwayat Al-Bazzar & Ibnu Hibban)

Demikianlah hikmah ibadat korban yang menyerikan lagi suasana keceriaan Aidiladha yang menyaksikan satu kesedaran atau keinsafan yang cukup tinggi di kalangan umat Islam untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan ummah sejagat.

Mudah-mudahan ibadat korban yang dilakukan sepanjang Hari Aidiladha diterima Allah. Amin.

sumber: Berita Harian


p/s: Selamat menyambut hari raya Aidil Adha. (=

Wednesday, November 2, 2011

Abu Sufyan.

bismillahirrahmanirrahim.

Jom kenal siapa sebenarnya Abu Sufyan.

Abu Sufyan Ibn Harb merupakan salah seorang pemimpin utama Bani Quraisy di Makkah yang sangat menentang Nabi Muhammad s.a.w, namun akhirnya Abu Sufyan memeluk islam dengan ikhlas. Isteri Abu Sufyan ialah Hindun binti 'Uthbah yang juga merupakan salah seorang yang memusuhi Rasulullah orang islam sebelum memeluk islam. Muawiyah dan Ramlah merupakan anak kepada Abu Sufyan. Abu Sufyan memeluk islam semasa pembukaan kota Makkah.

Keturunan Abu Sufyan ini kemudian mendirikan dinasti Umayyah yang memerintah dunia islam antara tahun 661-750 yang diperintah oleh anaknya iaitu Muawiyah Abu Sufyan manakala anak perempuannya iaitu Ramlah merupakan salah seorang daripada isteri Rasulullah s.a.w.

Pada tahun 624 iaitu sebelum Abu Sufyan memeluk islam, beliau memimpin sebuah kalifah. Sebuah pasukan muslim ketika itu cuba untuk mencegatnya, namun ia berhasil meminta bantuan daripada pihak Quraisy di Makkah dan hal ini kemudian menjadi punca tercetusnya perang Badar, yang kemudiannya berakhir dengan kemenangan kaum muslimin. Kematian beberapa pemimpin Quraisy dalam pertempuran tersebut menyebabkan Abu Sufyan kemudian dilantik menjadi pemimpin utama Makkah. Abu Sufyan juga berperanan sebagai pemimpin Makkah dalam peperangan melawan Madinah seperti peperangan Uhud dan peperangan Khandaq, tetapi tidak berhasil mencapau kemenangan yang menentukan. Akhirnya, kedua pihak bersepakat untuk melakukan genjatan senjata di dalam Perjanjian Hudaibiyyah yang memungkinkan untuk umat islam melakukan ziarah ke Ka'bah.

Namun begitu, kemudian perjanjian Hudaibiyyah ini dilanggar oleh suku-suku sekutu Quraisy pada tahun 630 yang akhirnya menyebabkan Rasulullah s.a.w menggerakkan pasukan muslim untuk menakluk Makkah. Abu Sufyan kini merasa bahawa Quraisy sudah tidak cukup kuat untuk menghalangi kaum muslim, melakukan perjalanan ke Madinah dan berusaha untuk mengembalikan perjanjian tersebut. Namun begitu, tiada kesepakatan dicapai di antara kedua belah pihak dan Abu Sufyan kembali ke Makkah dengan tangan kosong. Walaubagaimanapun, Abu Sufyan masih lagi berusaha dengan melakukan perjalanan ke Madinah untuk mengupayakan terjadinya penyelesaian damai beberapa kali lagi. Akhirnya, ketika penaklukan Makkah, usahanya membuahkan hasil dengan tidak ada berlakunya pertumpahan darah di Makkah ketika penaklukan kota Makkah berlaku.

Seperti yang disebutkan tadi, Abu Sufyan memeluk islam semasa peristiwa pembukaan kota Makkah dan setelah itu beliau menjadi salah seorang panglima perang kaum muslim dalam peperangan yang selanjutnya. Dalam peperangan Tha'if, ia kehilangan sebelah matanya. Malah,dia telah kehilangan sebelah lagi matanya dalam Peperangan Yarmuk pada tahun 636.

Abu Sufyan meninggal dunia pada tahun 650 di Madinah pada usia 90 tahun. Uthman bin Affan yang menjadi khalifah ketiga pada ketika itu dan juga merupakan kerabat Abu Sufyan telah memimpin doa bagi penguburannya.

Peninggalannya:
Anak lelaki Abu Sufyan, Muawiyah telah berhasil mendirikan kerajaan Umayyah iaitu kerajaan muslim pertama yang memerintah Islam selama seabad iaitu iaitu di antara tahun 661-750. Muawiyah berperang melawan Ali bin Abi Thalib sementara anak lelakinya Yazid bin Muawiyah terlibat dalam peperangan yang akhirnya menyebabkan syahidnya Husain bin Ali. Dan pada ketika ini umat islam berpecah. Kaum Syi'ah memandang Abu Sufyan sebagai munafik yang memeluk islam setelah penaklukan Makkan dan penyusup di kalangan umat islam.

Wallahu'alam. Sesungguhnya, Allah yang lebih mengetahui, bukan kita.






Tuesday, November 1, 2011

perang uhud~

bismillahirrahmanirrahim~


Penduduk Makkah (Quraisy) malu besar atas kekalahan mereka di medan perang Badar. Saudagar saudagarnya tidak ada yang berani lagi pergi berdagang ke Syria, takut akan ditangkap orang Islam. Kalau keadaan itu berterusan, kota Makkah akan diserang bahaya kelaparan dan krisis ekonomi. Oleh kerana itu, maka berundinglah semua pembesar Quraisy untuk mendapatkan keputusan ini. Diputuskan bahawa semua keuntungan perdagangan di tahun itu akan dipergunakan untuk membentuk satu angkatan perang yang kuat.


Kerana Abu Jahal sudah meninggal, maka Abu Sufianlah yang diangkat menjadi Panglima Perang, yang akan memimpin tentera tiga ribu orang jumlahnya. Di antara ketua pasukan mereka yang ternama ialah Safwan, anak dari Umaiyah bin Khalaf yang telah menyeksa Bilal, dan 'Ikrirnah anak Abu Jahal. Selain itu, ikut serta pula memimpin tentera, seorang yang gagah berani, iaitu Khalid Ibnul-Walid. Kaum perempuan dengan dikepalai oleh Hindun (isteri Abu Sufian), dikerahkan untuk menghibur dan menguatkan semangat perang bagi tentera yang ramai itu, mereka turut ke medan perang memukul genderang.

Kerana musuh terlalu ramai, maka Nabi berniat akan bertahan dan menanti musuh dalam kota Madinah. Tetapi suara ramai, berdasarkan siasat perang menghendaki agar musuh diserang di medan perang. Nabi tunduk kepada keputusan orang ramai ini, sekalipun dalam hatinya terasa kurang tepat. Dalam hal yang tiada turun wahyu, Nabi selalu berbincang dengan orang ramai, dan keputusan mereka pasti dijalankan dengan tawakkal, ertinya berserah kepada Tuhan.


Nabi lalu masuk ke dalam rumah memakai pakaian besinya dan mengambil pedangnya. Baru Nabi keluar, ramai di antara sahabat yang telah mengusulkan untuk menyerang tadi, mencabut usul mereka kembali, kerana ternyata kepada mereka pendirian Nabi semulalah yang benar. Tetapi keputusan itu rupanya tidak dapat diubah lagi, kerana Nabi berkata: "Tidak, Kalau seorang Nabi telah memakai baju perangnya, dia tidak akan membukanya kembali sebelum perang selesai."

Tentera Islam hanya berjumlah seribu orang. Semuanya berjalan kaki, hanya dua orang saja berkuda. Ramai pula di antara mereka itu orang tua dan anak anak yang di bawah umur.


Sebelum matahari terbenam, mereka bertolak menuju ke bukit Uhud. Sesampainya di pinggir kota Madinah, tiba tiba enam ratus orang Yahudi, kawan kawan dari Abdullah bin Ubay, menyatakan hendak turut bertempur bersama sama dengan Nabi. Tapi Nabi sudah tahu akan maksud mereka yang tidak jujur, maka ditolaknya tawaran itu dengan berkata: "Cukup banyak pertolongan dari Tuhan."

Kerana penolakan ini, Abdullah bin Ubay malu, marah, lalu berusaha menakutkan kaum Muslimin, agar mereka jangan turut berperang; tiga ratus orang kaum Muslimin dapat dihasut, sehingga kembali pulang ke Madinah; mereka inilah yang dinamakan kaum Munafik. Maka tinggallah Nabi dengan tujuh ratus orang tentera saja menghadapi musuh yang jumlahnya empat kali ganda itu.

Tanpa diketahui musuh, sampailah kaum Muslimin di bukit Uhud di waktu dinihari. Segera Nabi mengatur siasat perang. Bukit itu digunakan sebagai pelindung dari belakang, sedang dari sebelah kiri, dilindungi oleh bukit Ainain. Lima puluh orang diserahkan Nabi menjaga celah bukit dari belakang dikepalai oleh Ibnuz-Zubair, dengan perintah bahawa mereka tidak boleh meninggalkan tempat itu, sekalipun apa juga yang akan terjadi.


Tiba tiba kedengaranlah sorak gemuruh musuh dari bawah lembah. Mereka sudah melihat akan tentera Islam. Segera mereka bergerak maju, menyerang dengan formasi berbentuk bulan sabit, dipimpin oleh Khalid Ibnul-Walid sayap kanannya dan Ikrimah bin Abu Jahal sayap kirinya.

Seorang musuh berunta maju sampai tiga kali menentang tentera Islam. Pada kali ketiga, maka melompatlah Zubair sebagai harimau ke punggung unta itu. Musuh tadi dibantingkannya ke tanah, lalu dibedah dadanya oleh Zubair dengan pisau. Abu Dujanah setelah meminjam pedang Nabi sendiri, lalu menyerbu ke tengah tengah musuh yang ramai itu. Pertempuran hebat segera berkobar dengan dahsyat.


Arta pemegang panji panji musuh, gugur oleh Hamzah. Sibak yang menggantikan Arta segera berhadapan dengan Zubair. Setelah Sibak tewas menyusul Jubair bin Mut'im menghadapi Hamzah, untuk membalas dendam kerana Hamzah telah dapat menewaskan pamannya di medan perang Badar. Jubair takut berhadapan dengan Hamzah. Hanya diperintahkan hambanya Wahsyi, bangsa Habsyi, dengan perjanjian apabila budak ini dapat menewaskan Hamzah dia akan dimerdekakan.

Dengan menyeludup di balik belukar dari belakang Hamzah, dengan memgunakan tombak, Hamzah dapat ditikamnya sehingga syahid di saat itu juga.

Hamzah adalah pemegang panji panji Islam di kala syahidnya itu. Panji panji itu segera diambil oleh Mus'ab bin 'Umair. la ini pun tewas di hadapan Nabi sendiri. Ali tampil menggantikannya. Sebagai kilat Ali dapat menetak leher musuhnya yang memegang panji panji itu. Pergolakan hebat berkisar di sekitar panji panji musuh yang sudah rebah ke tanah. Berpuluh puluh musuh tewas di sekitar panji panji itu, bersama dengan panji panjinya. Barisan musuh mulai kucar kacir.

Melihat musuh lari tunggang langgang, tentera yang lima puluh orang yang diserahi menjaga celah bukit itu, lupa kepada kewajibannya. Mereka turut mengejar musuh yang lari meninggalkan tempat pertahanan mereka, kerana mengharapkan harta rampasan yang banyak, kepunyaan musuh yang lari itu. Dengan suara yang keras sampai serak, Ibnuz-Zubair menyuruh mereka kembali, tapi tidak diacuhkannya samasekali.


Melihat tempat pertahanan yang stratejis itu telah kosong tentera musuh yang lari dengan dipimpin oleh Khalid Ibnul-Walid itu, segera mengarah ke tempat pertahanan yang kosong itu. Dengan melalui celah bukit itu mereka menyerang tentera Islam dari belakang. Ibnuz-Zubair yang tetap bertahan seorang diri di situ, tewas diinjak oleh kuda kenderaan Khalid sendiri. Panji panji Quraisy yang sudah rubuh itu berkibar kembali dipegang oleh seorang perempuan Makkah, 'Umarah binti 'Alkamah namanya.

Tentera Islam menjadi kacau bilau. Sebahagian telah lari pulang ke Madinah, Usman bin 'Affan sendiri terbawa juga. Para sahabat bergelimpangan ke bumi menemui ajalnya. Anak panah dan batu tidak putus putus menghujani tentera Islam yang berkumpul di sekitar Nabi; tiba tiba Nabi dilontar oleh batu, sehingga luka parah dan patah giginya. Baju besi yang kena batu, pecah dan pecahannya menembus ke pipi Nabi. Abu Usman mencabut besi itu dari daging Nabi sehingga giginya pun patah pula.


Nabi terjatuh ke sebuah lubang yang agak dalam sehingga hilang dari pandangan orang ramai. Pasukan Quraisy lalu berteriak mengatakan, bahawa Muhammad sudah tewas. Ali dan Talhah segera menolong dan mengeluarkan Nabi dari dalam lubang itu. Umar, Abu Bakar dan Ali pun serentak menyerbu ke tengah tengah musuh sebagai singa yang lapar layaknya. Maka tinggallah Nabi dilindungi oleh Abu Dujanah dan Abu Talhah saja. Badan Abu Dujanah penuh luka untuk menangkis segala serangan yang ditujukan kepada Nabi, sehingga kerana luka dan keletihan, dia pun meninggal. Seorang perempuan Ansar melihat Nabi tinggal seorang diri, lalu menyerbu ke muka menikam setiap musuh yang menuju ke arah Nabi, sehingga perempuan itu pun tewas pula. Perempuan itu Ummu 'Umarah namanya.

Dalam pada itu, suara musuh yang mengatakan Nabi sudah tewas itu, segera menjalar di medan pertempuran. Mendengar itu, Ali, Umar dan Abu Bakar bukan main terperanjatnya, sehingga semangat pertempurannya menjadi tergoda kerananya. Melihat itu Anas bin Nadhir berkata kepada mereka:

"Kenapa kamu kecewa? Kalau betul Nabi sudah wafat, apa gunanya hidup ini bagimu? Ayuh! Mari kita bunuh musuh seramai mungkin sampai kita syahid pula sebagai Nabi sendiri!"


Sebagai teladan, dia segera melompat menerkam musuh. Dia rebah penuh dengan luka-luka sehingga tidak dapat dikenal lagi rupanya. Badan, muka dan jari jarinya putus kena pedang musuh. Hanya saudara perempuannya saja yang dapat mengenal dia dalam keadaan yang demikian itu. Ali, Umar dan Abu Bakar menyusul berjuang mati matian menetak musuh dengan pedangnya. Semangat tentera Islam hidup kembali.

Tiba tiba terdengar Ka'ab bin Malik berteriak mengatakan Nabi masih hidup segar bugar, malah beliau pun sedang berjuang mati matian. Dari segala penjuru, tentera Islam menyerbu menyusur ke tempat Nabi berada. Nabi yang sedang terkepung dari segala penjuru, dapat mereka bela, sehingga terlepas dari bahaya besar. Mereka lalu merebut kembali celah bukit yang stratejis dikuasai musuh itu. Dengan direbutnya tempat itu, musuh dikepung ditengah tengah. Perlawanan musuh dapat dipatahkan dan akhirnya lari menyusup dilereng bukit Uhud, dimana terjadi pertempuran maju mundur beberapa hari lamanya. Kerana sudah keletihan dan banyak korban, mereka lalu pulang ke Makkah kembali.


Dalam pertempuran itu, ummat Islam menderita kerugian yang lebih besar, tujuh puluh orang tewas. Sedang di pihak musuh hanya dua puluh tiga orang saja yang tewas. Sungguh mahal harganya strateji yang ditetapkan Nabi kerana dengan melengahkan strateji itu dan harus membayar dengan tujuh puluh orang korban dan Nabi sendiri pun dapat luka dan hampir saja menjadi korban.

Kerugian besar itu menimbulkan keinsafan yang lebih dalam kepada tentera Islam, keinsafan bahawa perintah Nabi jangan sampai dilanggar dan diabaikan. Dengan keinsafan inilah mereka meneruskan perang mereka di hari hari yang berikutnya, sehingga mendapat kemenangan yang gilang gemilang.

Sehabis perang Uhud itu kekejaman musuh semakin bertambah juga. Jenazah jenazah tentera Islam yang bergelimpangan di medan perang, mereka koyak koyak dan hinakan. Dengan ramainya korban orang orang Islam dan sedikitnya korban di pihak mereka, mereka sama sama menyombongkan diri kerana mengira bahawa tentera Islam akan dapat dibinasakan semuanya. Yahudi Madinah mulai ingin bersahabat dengan bangsa Quraisy untuk menyerang orang Islam, melanggar janji yang sudah mereka tandatangani di hadapan Nabi sendiri. Kaum munafik (yang bergabung dengan orang Islam, kerana takut dan lain alasan, bukan kerana keinsafan), makin terang terang mengkhianati kaum Islam.

Guru guru Islam yang dikirim Nabi ke desa desa di pedalaman Arab tujuh puluh orang jumlahnya, hampir seluruhnya dibunuh oleh golongan Yahudi dan kaum munafik itu. Hal ini sangat menyedihkan Nabi.


sisi lain perang uhud~


silalah tengok video di bawah ini. insyaAllah memang sangat baik dan terkesan.



sekian. semoga bermanfaat~

biarkan berlalu pergi.

bismillahirrahmanirrahim~

kata-kata puitis sangat menyentuh hati
tapi apakan daya, diri ini tidak tahu untuk berpuitis.
terkesan dengan kata-kata di bawah ini lantas mahu share di sini,
untuk rujukan di masa hadapan. (=

ya Allah, ampunilah aku untuk setiap air mata yang ku tumpahkan bukan keranaMU..Ya Allah yang pengasih, ampuni aku yang tidak kuat mendepani dugaan yang menimpa hati..jgn biarkan kekecewaan ini mengheret aku ke lembah binasa..izinkan aku Ya Allah untuk berdiri semula mencari realiti, dan melenyapkan impian yang sudah tiada lagi..aku lemah Ya Allah, tanpa kekuatan dariMu...
biarkan...segala yang bukan milik kita berlalu dan pergi, andai sesuatu itu ditakdir milik kita, suatu hari nanti, ia akan kembali ataupun Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih bererti.
~ la tahzan saudara sahabat seperjuangan mencari redha Allah~
Aku tak meminta engkau jadi bulan...
kerana Kau tinggi sekali
dan Aku tak dapat menjangkaumu..

Aku tak meminta engkau jadi awan,
... kerana Aku takut Dirimu akan mendung.

Aku tak meminta engkau jadi bunga,
kerana Aku takut Dirimu akan layu.

Aku hanya ingin minta maaf,
jika hari ini dan sebelumnya Aku tak sengaja berbuat salah Padamu.. :(

~ Jka bersedih, pandanglah ke langit, ingatlah Allah msih ada.. jka resah, renungilah ke dsar hati, ykinlah Allah yg mncipta hati.. jka berptus asa, lihatlah sungai yg mngalir, walau di halang batuan keras, tetap jua mngalir.. jka kcewa, lihatlah hakikat alam semesta, pcayalah Allah maha bkuasa.. jka rsa sepi, lihatlah purnama di mlm hari, ykinlah Allah tdak pernah mmbiarkn kta sndri.. Jka sgalanya tidak pasti, serahkn pd YG MAHA MNGETAHUI, yg tersurat mahupun tersirat, smg jwpnnya kn kita temui.. insyaAllah :) ~
p/s: rajinnya update blog harini! al maklumlah, exam baru habes kan =)
sumber puitis ini dibawakan khas dari fb AkuIslam.com =)

Badar Al- Kubra


bismillahirrahmanirrahim.

mahu berkongsi pengisian tentang peperangan penting dalam menyelusuri sirah perjuangan Rasulullah s.a.w. dalam menegakkan agama islam, iaitu perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah. Semoga bermanfaat~


sumber gambar: google

Persaudaraan orang-orang Islam yang datang dari Makkah dengan orang-orang Islam kota Madinah, iaitu kaum Muhajirin dan kaum Ansar, begitu baik dan kuat, seakan-akan mereka semua bersaudara kandung, tolong-menolong dengan serapat-rapatnya.
Kota Madinah yang boleh dikatakan kota Yahudi itu, mengalami perubahan besar, dengan banyaknya orang-orang Yahudi yang masuk Ugama Islam. Hal ini menimbulkan gerakan anti Islam dikalangan orang-orang Yahudi yang masih fanatik. Dalam pada itu kaum musyrik Makkah semakin cemas hatinya melihat kemajuan Ugama Islam di Madinah itu.
Kemarahan bangsa Yahudi makin bertambah, setelah Allah memerintahkan berkiblat dari Baitui Maqdis ke Kaabah di Makkah, sekalipun Kaabah sendiri dikala itu masih penuh dengan berhala. Nabi melayani setiap orang Yahudi dengan baik dan lemah-lembut. Dengan mereka dibuat perjanjian, dimana ditetapkan:
1. Orang Yahudi dan Orang Islam hendaklah hidup sebagai satu bangsa.
2. Masing-masing merdeka menjalankan upacara keagamaan masing-masing dan tidak boleh ganggu-mengganggu.
3. Jika salah satu diserang musuh, yang lain akan memberikan bantuannya.
4. Bila kota Madinah mendapat serangan, orang-orang Islam dan orang-orang Yahudi harus bersama-sama mempertahankannya.
5. Jika antara kedua pihak timbul perselisihan, maka Nabi sendiri yang akan mengadilinya.
Tetapi tak lama sesudah perjanjian itu ditandatangani, orang-orang Yahudi mulai melanggarnya dengan mengadakan hasutan untuk mengenyahkan orang-orang Islam dari Madinah. Gerakan ini bukan gerakan yang boleh dianggap mudah, tetapi gerakan besar, yang berbahaya sekali terhadap jiwa ummat Islam, kerana gerakan ini dipimpin oleh seorang Yahudi yang besar pengaruhnya iaitu Abdullah bin Ubay, yang hampir saja diangkat bangsa Yahudi menjadi Raja Madinah. Abdullah bin Ubay ini sangat anti terhadap Islam, kerana dengan tersiarnya Ugama Islam itu, pengaruhnya semakin berkurangan.
Dalam pada itu, penduduk Makkah sudah bersiap sedia pula untuk menyerang orang Islam dengan kekuatan yang besar. Kedudukan orang Islam mulai sulit dan berbahaya sekali.

KEIZINAN UNTUK BERPERANG

Dalam keadaan yang meruncing itu, turun wahyu Allah kepada Nabi yang berbunyi: "Berperanglah dalam jalan Allah melawan orang-orang yang memerangi kamu, tetapi jangan melanggar batas, kerana Allah tidak suka kepada orang yang melanggar batas. Bunuhlah mereka itu dimana saja kamu jumpai dan usirlah mereka itu sebagaimana mereka telah mengusir kamu. Tetapi ingat pula, bahawa fitnah adalah lebih berbahaya dari pembunuhan. Tetapi janganlah kamu berperang didalam Masjidil Haram (Kaabah), kecuali kalau diperanginya kamu disana."
Selama ini Nabi dan orang-orang Islam hanya disuruh mundur dan hijrah. Sekarang diperintahkan Allah untuk berperang, kerana kini mereka sudah cukup menerima penganiayaan.
Jelas perintah itu, iaitu perang bukan untuk memaksa orang masuk Ugama Islam, tetapi adalah semata-mata mempertahankan diri kalau diserang. Kerana Ugama Islam tidak boleh dipaksakan kepada siapa jua, walaupun kepada keluarga dan famili Nabi sendiri.
Kerana perintah itu, maka Nabi mulai menyusun tentera mengatur pertahanan dan perlengkapan. Mula-mula ke dalam kota Makkah diutus Nabi beberapa orang perisik, untuk mengetahui rencana dan kekuatan musuh, serta untuk menarik kepala-kepala bangsa Badwi ke pihak Islam.
Pada bulan Rejab tahun kedua hijrah, Nabi mengutus dua belas orang Muhajirin, dikepalai Abdullah bin Jahasy keluar kota Madinah; suasana di kala itu sudah runcing sekali. Kepadanya diberikan sepucuk surat bersampul, Nabi mengizinkan membuka surat tersebut setelah dua hari dalam perjalanan. Setelah dua hari dalam perjalanan, lalu surat itu dibuka. Ternyata dalamnya satu perintah dari Nabi agar mereka menuju ke Nakhlah, satu tempat di antara Makkah dan Taif, guna mencari keterangan sebaik-baiknya tentang gerak-geri orang Makkah (musuh). Hal ini dilakukan bukan untuk menyerang Makkah, tetapi untuk berjaga-jaga semata-mata.
Disana, Abdullah bertemu dengan kafilah kecil orang Makkah yang dalam perjalanan pulang dari Taif. Orang-orang ini diserangnya, seorang mati iaitu 'Amru bin Hadhramy dan dua orang lainnya ditawan, yaitu Usman bin Abdullah dan Hakam bin Kaisan, sedang harta bendanya dirampas. Dalam hal itu Abdullah telah melanggar perintah Nabi, kerana disaat itu dalam Bulan Muharam, dimana dilarang menumpahkan darah. Nabi sangat marah kepadanya.
Hal ini membangkitkan semangat bangsa Quraisy (Makkah), untuk menyerang kaum Muslimin.
Nabi mendapat lapuran, bahawa kafilah bangsa Quraisy yang amat besar terdiri dari seribu ekor unta dengan segala muatannya, sedang dalam perjalanan dari Syria menuju Makkah. Untuk mengurangi kekuatan musuh yang telah siap untuk menyerang itu, Nabi memerintahkan untuk menahan kafilah itu dan merampas harta dan barang dagangan untuk dijadikan kekuatan perang. Maksud Nabi ini diketahui oleh Abu Sufyan yang mengepalai kafilah itu. Abu Sufyan segera mengirim utusan ke Makkah minta bantuan tentera sebanyak mungkin, sedang perjalanan kafilahnya dibelokkan melalui satu tempat yang bernama Badar, menyusur pantai Lautan Merah. Makkah segera mengirimkan bantuan yang terdiri dari seribu orang tentera, seratus orang diantaranya pasukan berkuda dan tujuh ratus orang lainnya pasukan unta, yang kesemuanya dikepalai oleh Abu Jahal sendiri. Ketika pasukan bantuan ini bertemu dijalan dengan Abu Sufyan, Abu Sufyan menyuruh pasukan ini kembali saja ke Makkah. Tetapi Abu Jahal ingin memperlihatkan kekuatan tenteranya kepada orang Madinah itu.
Pasukan Rasulullah s.a.w. hanya terdiri dari tiga ratus tiga belas orang saja. Diantaranya hanya dua orang berkenderaan kuda. Tentera yang kecil ini berangkatlah bersama Rasulullah menuju satu tempat yang dinamai Badar.
Setelah Rasulullah mengetahui akan kedatangan bantuan Quraisy yang amat besar jumlahnya itu, Rasulullah bermesyuarat dengan para sahabat beliau. Abu Bakar dan Umar menasihatkan agar pertempuran diteruskan. Begitu juga Miqdad bin 'Amru dari Muhajirin. la berkata kepada Rasulullah: "Teruskanlah apa yang diperintahkan Allah kepada engkau. Kami tidak akan berkata seperti apa yang dikatakan Bani Israil dahulu kepada Nabi mereka Musa a.s. Mereka berkata kepada Musa: Pergilah engkau beserta Tuhan engkau berperang, sedang kami biarlah duduk saja di sini (menonton). Sebaliknya kami, kata Miqdad seterusnya akan berkata kepada engkau: Pergilah engkau beserta Tuhan engkau berperang, dan kami akan bersama engkau bertempur. Demi Allah yang telah mengutus engkau membawa kebenaran, jika sekiranya engkau memerintahkan kami berangkat ke Birkil Ghamad (nama suatu tempat yang amat jauh di Yaman), kami akan memaksa diri kami agar kami sampai ke sana."
Berkata pula Sa'ad bin Mu'az dari golongan Ansar: "Kami sudah beriman kepada engkau, kami sudah membenarkan akan engkau dan mengakui bahawa apa yang engkau bawa kepada kami adalah hak, kami sudah berjanji akan tunduk dan taat. Maka teruskanlah, ya Rasulullah, dengan apa yang engkau kehendaki, kami akan selalu bersama engkau. Demi Tuhan yang telah mengutus engkau dengan hak, sekiranya engkau harus menyelam lautan itu, kami akan menyelaminya bersama engkau. Tak seorang pun diantara kami yang akan mundur. Kami tidak takut apa pun yang akan dilakukan musuh terhadap diri kami, kami adalah orang-orang yang tabah dalam perang. Mudah-mudahan Allah memperlihatkan kepada engkau apa-apa yang menyenangkan hati engkau, sehingga kami akan senang pula dengan berkat dari Allah."
Rasulullah sangat gembira mendengar ucapan-ucapan yang diucapkan para sahabat itu. Rasulullah lalu berkata memberikan perintah kepada mereka: "Berangkatlah dan bergembiralah, Allah sudah menjanjikan kepadaku akan pertolonganNya, seolah-olah aku melihat tempat-tempat yang menjadi sumber minum mereka."
Kaum Quraisy dan bala bantuannya yang banyak itu dikerah oleh Abu Sufyan, mengambil kedudukan dilereng jauh ditempat rendah. Sedang Rasulullah memerintahkan pasukan beliau mengambil tempat dilereng yang dekat ditempat tinggi dari Wadi Badar.
Seorang sahabat bernama Habbab bin Munzir mendatangi Rasulullah dan berkata: "Apakah kedudukan yang engkau pilih ini menurut perintah (wahyu) dari Allah? Kalau memang begitu, kita tidak akan beranjak dari kedudukan ini. Tetapi kalau hanya pendapat Rasulullah sendiri berdasarkan siasat atau strateji semata, maka saya berpendapat lain. Lebih baik kita mengambil kedudukan ditempat yang lebih rendah, dekat sumber air yang akan diperguna-kan oleh musuh-musuh itu. Kita buat tangki-tangki dan kita gali perigi, lalu kita penuhi dengan air dari sumber itu, kemudian sumber itu kita timbun dengan tanah. Biar musuh tidak dapat air minuman, agar mereka menderita dahaga, sedang kita terus bertempur dengan persediaan air yang banyak itu."
Pendapat Habbab ini dibenarkan oleh Rasulullah, kerana Rasulullah mengambil tempat kedudukan yang pertama tadi itu tidak berdasarkan perintah dari Allah, semata-mata pendapat peribadi beliau sendiri.
Seluruh pasukan dikerahkan untuk membuat tangki-tangki dan menggali perigi, mengisinya dengan air sebanyak mungkin, lalu menutup sumber air yang akan dipergunakan oleh musuh itu. Para sahabat pun membuat sebuah gubuk untuk Rasulullah, tempat beliau memberikan arahannya. Berkata Sa'ad al-Anbany: "Ya Rasulullah, bila Allah memenangkan kita, engkau tetap sajalah digubuk itu, tetapi bila kami tewas seluruhnya, engkau hendaklah segera meninggalkan gubuk itu bergabung dengan sahabat-sahabat kita yang masih hidup, yang kecintaan mereka terhadap engkau tidaklah kurang dari kecintaan kami." Rasulullah amat terharu mendengar ucapan yang demikian itu. Keesokan harinya musuh yang terdiri lebih dari seribu orang itu mulai menyerang. Melihat kedatangan musuh yang dengan amat tiba-tiba itu, Rasulullah berdoa: "Allahumma, ya Allah, kaum Quraisy sudah menyerang dengan sombong dan membanggakan kekuatan mereka, mereka menentang Engkau dan mendustakan akan Rasul Engkau. Ya Allah, hanya pertolongan yang pernah Engkau janjikan kepadaku yang akan dapat mengalahkan dan menghancurkan mereka. Ya Allah, hancurkanlah mereka."
Tentera Makkah bukan main marahnya. Dengan segera mereka menyerang dengan pasukan berkuda terhadap tentera Islam. Dua orang pasukan berkuda musuh (Quraisy) gugur ke tanah dipanah tentera Islam. Dari tentera musuh maju ke depan tiga orang pahlawan, iaitu 'Utbah dan Syaibah (bersaudara) dengan anak 'Utbah yang bernama al-Walid. Untuk menghadapi ini, Nabi memerintahkan tiga orang pahlawan Islam pula, iaitu Ali, Hamzah dan Ubaidah. Ali dan Hamzah dapat menewaskan musuh sedangkan Ubaidah dan lawannya masing-masing mendapat luka yang parah dan kerana luka-luka ini Ubaidah meninggal dunia di atas pangkuan Nabi sendiri.
Kaum Muslimin yang sedikit itu menghadapi lawan yang lebih dari tiga kali ganda banyaknya. Nabi mendoa kepada Tuhan: "Oh, Tuhan! Penuhilah janjiMu untuk memberi kemenangan. Kalau ummat yang kecil ini binasa (kalah), maka akan menanglah agama berhala dan tidak akan ada lagi orang yang menyembahMu di muka bumi."
Abu Bakarlah ketika itu orang yang paling sedih dan khuatir melihat ramai dan kuatnya musuh yang sedang dihadapi oleh tentera Islam. Dengan memegang kain tutup kepala Nabi, Abu Bakar berkata kepada Nabi: "Ya Nabi Allah, Tuhan tentu akan mengabulkan doamu dan Tuhan tentu menolong kita menghadapi musuh yang ramai ini."
Tiba-tiba Nabi seakan-akan tertegun dalam mendoa. Di kala itu turunlah wahyu Allah yang berbunyi: "Hai, Nabi! Kerahkanlah orang-orang Mu'min itu bertempur! Dua puluh orang Mu'min yang sabar, akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh dan seratus orang (Mu'min yang sabar) akan dapat mengalahkan seribu orang-orang kafir, kerana orang-orang kafir itu tidak mempunyai dasar yang teguh."
Dengan segera Nabi menghadapkan mukanya kepada tentera Islam yang sudah siap sedia, lalu berkata: "Demi Tuhan yang memegang jiwa Muhammad, orang-orang yang berperang dengan sabar dan penuh harapan ganjaran Allah, terus maju dan takkan mundur setapak, bila dia terbunuh, terus masuk ke dalam Syurga Allah."
Kemudian diambil Nabi segenggam pasir, lalu dilemparkannya ke arah musuh. Arahan dan perintah menyerbu sudah diberikan. Kaum Muslimin maju bertempur dengan keimanan dan keyakinan yang penuh dan kuat, dengan serentak berteriak: Ahad, Ahad, Ahad.
Dikala itu angin berhembus dengan kencangnya ke arah tempat musuh. Pasir padang pasir berterbangan sebagai asap tabir yang amat tebal. Mata pedang mulai bergerincingan berbunyi ditengah-tengah suara takbir dan derunya angin ribut.
Kerana angin berhembus ke arah tentera musuh, maka hal itu sangatlah menguntungkan pihak ummat Islam yang dipimpin Nabi. Bukan hanya perajurit, tetapi banyak panglima-panglima tentera musuh, seorang demi seorang tewas di hujung mata pedang; diantaranya 'Utbah, Syaibah, al-Walid, Umaiyah bin Khalaf, Abul Bukhtary, Hamzah anak Abu Sufyan.
Dalam pertempuran itu pula, Mu'az bin 'Amru dari golongan ummat Islam telah dapat melukai Abu Jahal, tetapi anak Abu Jahal segera datang membantu ayahnya, sehingga tangan Mu'az kena mata pedang hampir putus, tergantung di bahunya. Dengan segera Mu'az memutuskan tangannya yang tergantung-gantung itu, lalu tampil menyerang Abu Jahal. Abu Jahal terbanting jatuh, segera ditikam oleh seorang pemuda Ansar, iaitu Bin Affa sehingga Abu Jahal tewas seketika itu juga berlumuran darah bersama kudanya. Kepala Abu Jahal yang telah bercerai dengan badannya, dibawa Ibnu Mas'ud ke hadapan Nabi.
Melihat panglima tertingginya sudah tewas, maka barisan musuh mulai kucar kacir, lari tunggang-langgang dikejar orang Islam dari belakang. Mereka meninggalkan tujuh puluh mayat dimedan perang, yang umumnya terdiri dari pemuka-pemuka mereka dan tujuh puluh orang lagi menjadi tawanan perang. Sedang dipihak ummat Islam hanya empat belas orang yang mati syahid dan tidak seorang juga yang menyerah kepada musuh.
Di antara tokoh-tokoh yang berkaliber besar dari kaum Musyrikin Quraisy yang tewas itu antara lain Abu Jahal bin Hisyam (panglimanya), 'Utbah bin Rabi'ah, Syaibah bin Rabi'ah, Umaiyah bin Salt. Semua mayat musuh itu dimasukkan ke dalam sebuah lubang, lalu ditimbuni dengan tanah. Rasulullah lalu berdiri di tempat itu dan berkata: "Hai Ahli Lubang, hai Abu Jahal bin Hisyam, hai 'Utbah bin Rabi'ah, hai Syaibah bin Rabi'ah, hai Umaiyah bin Salt, apakah kamu sudah memperoleh apa-apa yang dijanjikan Tuhan kamu kepada kamu sekalian? Kami sudah memperolehi apa yang pernah dijanjikan Allah kepada kami."
Mendengar itu para sahabat bertanya kepada Rasulullah:
"Ya Rasulu'llah, apakah engkau menyeru orang-orang yang sudah menjadi bangkai?" Rasulullah menjawab: "Mereka lebih mendengar daripada kamu akan apa-apa yang saya ucapkan itu, hanya mereka tidak dapat menjawabnya."
Perang inilah yang dinamai perang Badar Kubra, terjadi pada tujuh belas Ramadhan tahun kedua Hijrah. Kemudian ternyata, bahawa Allah telah mengirimkan pertolonganNya kepada ummat Islam dalam perang itu. Bukan saja pertolongan yang berupakan angin dan debu, tetapi pula beberapa Malaikat, sebagai ternyata dalam wahyu Allah yang datang kemudian.
Terhadap para tawanan itu berbagai-bagai usul yang masuk. Umar Ibnul-Khattab mengusulkan agar mereka dibunuh semuanya, seimbang dengan kekejaman mereka terhadap orang-orang Islam. Tetapi Abu Bakar mengusulkan agar tawanan-tawanan yang kaya, diwajibkan menebus dirinya masing-masing dengan wang yang banyak, lalu dilepaskan dan yang miskin dan tak berbahaya, dilepaskan saja tanpa tebusan. Dengan wahyu Allah, Nabi menjalankan usul Abu Bakar, menolak usul Umar. Para tawanan yang mempunyai kepandaian menulis, dapat menebus dirinya dengan kepandaiannya itu.
Dengan jalan begitu, perlakuan terhadap tawanan memang diatur Nabi sebaik mungkin. Hal inilah yang menyebabkan kemenangan yang berterusan untuk kaum Muslimin disamping dengan pertolongan dari Allah. Salah seorang yang membayar tebusan yang agak besar sekali ialah Abbas iaitu bapa saudara Nabi sendiri.
Dimakkah kaum Quraisy menunggu perkhabaran tetapi setelah tiba ternyata kekalahan dipihak mereka dimana banyak yang mati dan tertawan. Dari tentera yang pulang itu mereka ketahui jalan peperangan, budak suruhan Abbas yang bernama Abu Rafi dengan keras berkata: Demi Allah. Tentu saja Malaikatlah yang menolong tentera Islam!
Mendengar perkataan itu bukan main marah lagi Abu Lahab, walaupun masih lagi dalam kesakitan dipukulnya Abu Rafi setengah mati. Kejadian itu dilihat oleh isteri Abbas, dia amat marah diambilnya lembing lalu ditikamnya Abu Lahab, parah dibuatnya. Dengan keaadan yang luka parah dan malu Abu Lahab pulang kerumah, sakitnya semakin tenat setelah tujuh hari dia pun mati. Makkah berada dalam kesedihan atas kekalahan yang dialami tentera mereka.

info ini diambil dari sini

ambil mana-mana ilmu yang terdapat dari video ini. ilmu sahaja ye. (=